

ALOR SETAR: Keadaan banjir di Hat Yai, Thailand semakin buruk apabila air mula mencecah paras sebuah bangunan hari ini.
Perkara itu dikongsikan oleh pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi, 21, yang masih terkandas di Hotel Wangburapa Grand bersama 35 pelajar lain dan empat pensyarah universiti tersebut.
“Paras air semakin naik sampai tingkat satu dan bot sukar nak datang ke tempat kami kerana air deras dan tinggi, ini menyebabkan kesukaran kepada kami dan juga pihak-pihak yang nak menyelamatkan kami.
“Keadaan pelajar dan staf UUM masih selamat dengan sumber makanan terhad,” katanya menerusi pesanan WhatsApp yang dikongsikan oleh universiti itu kepada media hari ini.
Beliau berkata Konsulat Jeneral Malaysia ada menghantar bekalan makanan namun terhad dan terpaksa berkongsi sesama mereka.
Semalam, UUM memaklumkan bahawa operasi pemindahan 40 individu termasuk pensyarah universiti itu ke tempat selamat ditangguhkan ekoran hujan lebat di Hat Yai.
Menurut UUM, koordinasi antara Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dengan pihak berkuasa tempatan di Hat Yai akan dilaksanakan secepat mungkin apabila hujan mulai reda.
Seramai 40 pelajar serta pensyarah pengiring daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) berada di Hat Yai bagi mengikuti Program Pertukaran Budaya Thailand-Malaysia 2025 dan terkandas sejak 22 November lepas akibat banjir.- Bernama