KUALA LUMPUR: Wakil yang menghadiri forum terkini Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) telah menyatakan sokongan mereka mengenai usaha untuk mewujudkan pakatan global bagi menangani kempen negatif atau stigma terhadap minyak sawit.
“Kami boleh bekerjasama untuk memerangi kempen negatif terhadap minyak sawit, selain menggalakkan kerjasama dan berkongsi amalan pertanian yang terbaik,” kata Timbalan Pengarah Eksekutif CPOPC, Dupito D Simamora dalam ucapannya pada pusingan kedua program capaian pekebun kecil (SOP) majlis itu.
Beliau berkata pekebun kecil mempunyai peranan penting dalam CPOPC dan bersama dengan pihak majlis akan dapat menggalakkan harga minyak sawit yang stabil demi kepentingan semua negara pengeluar.
Industri minyak sawit telah menjadi tumpuan negatif di peringkat antarabangsa dan boikot oleh pengguna kerana didakwa melakukan penebangan hutan hujan tropika yang kaya dengan biodiversiti.
Diadakan semalam, forum SOP dalam talian itu bertujuan mencapai pekebun kecil di Amerika Tengah dan Amerika Latin serta telah dihadiri oleh wakil daripada persatuan pekebun kecil dan kumpulan dari Colombia, Ecuador, Honduras, Guatemala dan Mexico.
SOP menjadi platform kepada pekebun kecil dari negara-negara pengeluar minyak sawit untuk berkongsi, bekerjasama dan mewujudkan rangkaian komunikasi global termasuk dalam konteks mencapai matlamat pembangunan mampan 2030.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif CPOPC Tan Sri Yusof Basiron dalam ucapan penutupnya menegaskan bahawa minyak sawit adalah komoditi masa depan dan penyumbang utama kepada ekonomi negara.
“Permintaan yang meningkat dapat dipenuhi oleh minyak sawit secara mampan yang setara dengan standard kemampanan.”
Sehubungan itu, veteran industri itu menggesa negara-negara pengeluar minyak sawit untuk mengambil peluang daripada minyak sawit dan bekerjasama untuk mempertahankan komoditi tersebut daripada kempen yang memutarbelitkan fakta.
Pusingan pertama forum SOP itu telah diadakan bulan lepas dan dihadiri oleh 42 wakil pekebun kecil di Asia Pasifik seperti Indonesia, Malaysia, Thailand, India dan Papua New Guinea.
Pusingan ketiga dijadual diadakan minggu depan, dan beberapa wakil pekebun kecil dari Afrika telah mengesahkan penyertaan mereka. – Bernama