KUALA LUMPUR: Minyak sawit mentah (MSM) dijangkakan mampu mencapai sasaran harga RM3,000 satu tan sebelum akhir 2020 sebagaimana diunjurkan tahun lepas berikutan sentimen yang semakin positif, demikian menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Bercakap kepada Bernama, Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, permintaan terhadap komoditi itu juga semakin beransur pulih walaupun belum mencecah paras sebelum berlakunya penularan Covid-19.
Menurutnya, antara faktor penyumbang sentimen itu adalah pelaksanaan program B20, angka eksport yang menggalakkan, pengeluaran serta inventori yang rendah dan pasaran baharu yang berpotensi.
“Pada tahun lepas, kita menyasarkan bahawa MSM boleh mencecah RM3,000 satu tan pada 2020 dengan purata harga RM2,750 bagi tahun ini. Namun, kita berdepan penularan COVID-19 yang menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan dan seterusnya memaksa kita untuk menyemak semula harga itu kepada RM2,500 satu tan.
“Semakan semula harga purata itu berpunca daripada banyak sebab lain dan terutamanya akibat pandemik itu. Bagaimanapun, memandangkan paras semasa RM2,950 satu tan telah dicatatkan sewaktu dagangan ditutup pada Selasa (harga fizikal), peningkatan itu jelas semakin ketara dan lebih pantas daripada kita jangkakan. Oleh itu, kita hanya menunggu masa (untuk mencecah paras harga lebih tinggi),” katanya.
Menurut data eksport minyak sawit mengikut destinasi yang dipaparkan di laman sesawang MPOB, eksport MSM Malaysia di peringkat global bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 adalah 9.57 juta tan berbanding 10.88 juta tan bagi tempoh sama tahun lepas.
Bagi tempoh sama, eksport ke India berkurangan kepada 852,450 tan daripada 3,040,000 tan tahun lepas yang antara lainnya disebabkan oleh penutupan sementara hotel, restoran dan kafe.
Eksport ke Kesatuan Eropah (EU) juga susut kepada 1.18 juta tan berbanding 1.27 juta tan namun eksport ke China sebaliknya, meningkat kepada 1.54 juta tan daripada 1.09 juta tan berikutan permintaan berterusan bagi pengeluaran makanan diproses termasuk mi segera.
Di sebalik tindakan beberapa negara mengurangkan pembelian minyak sawit pada bulan-bulan awal penularan Covid-19 susulan sekatan pergerakan, terdapat negara-negara lain yang menambah pembelian komoditi itu.
Bangladesh misalnya mengimport 215,930 tan minyak sawit iaitu meningkat daripada 29,052 tan manakala import Arab Saudi melonjak kepada 218,076 tan berbanding 74,236 tan, sebelum ini.
“Walaupun setakat ini kita hanya mampu mengendalikan eksport MSM, saya berpendapat, selagi kita dapat menjamin pasarannya dan membantu menstabilkan paras stok, keadaan ini baik dan dapat menyokong harganya.
“Tidak dinafikan, akan ada segelintir pihak yang mendakwa Malaysia bertindak ke belakang dengan mengeksport MSM sedangkan kita sepatutnya menghasilkan lebih banyak produk hiliran.
“Namun, pada masa-masa seperti sekarang, kita perlukan sedikit kompromi…sebaik sahaja keadaan kembali stabil, kita boleh menggerakkan semua inisiatif bagi menumpukan lebih banyak produk hiliran dan yang ada nilai tambah,” jelas beliau.