Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Musim Monsun Timur Laut: Keadaan cuaca, bencana mungkin berlaku
  • RENCANA

Musim Monsun Timur Laut: Keadaan cuaca, bencana mungkin berlaku

Utusan Sarawak 7 hours ago

SEKALI lagi Malaysia berdepan bencana banjir yang melanda negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perak dan Kelantan.

Keadaan banjir di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan ketika tinjauan kelmarin. – Foto BERNAMA

 Bahagian selatan Thailand juga terjejas. 

Menurut laporan media, yang paling teruk terjejas adalah Hatyai, banyak penduduk terperangkap dan ada juga rakyat Malaysia terkandas di situ. Menurut laporan berita juga, bahagian tengah – timur Vietnam dilanda banjir teruk menyebabkan kematian melebihi 90 orang. 

Di Malaysia pula banjir setakat artikel ini ditulis, dilapor lebih 15,000 orang dipindahkan ke pusat-puast pemindahan. Banjir dan tanah runtuh juga dilaporkan di Selangor.

Saya kira, kita perlu memberi kredit kepada pihak berkuasa Malaysia, bukan sahaja dari aspek ramalannya, tetapi koordinasi agensi-agensi yang terlibat terutama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), saya kira amat teratur kerana walaupun saban tahun banjir berlaku, kadar kematian boleh dikatakan rendah. 

Sekiranya pemindahan penduduk ini tidak dilakukan secara teratur, saya yakin kadar kematian akan meningkat. Kerugian harta benda lain pastinya dialami penduduk terjejas, tetapi sekurang-kurangnya nyawa penduduk boleh dilindungi.

Banjir… itulah bencana iklim saban tahun dialami di Malaysia. Malah semakin kerap, bukan hanya semasa musim monsun timur laut. Musim perantaraan monsun juga kita mengalami banjir. 

Ramai yang bertanya kepada saya mengapa kejadian banjir semakin menjadi-jadi, bukan sahaja semakin teruk tetapi kerap berlaku. Adakah ini terkait dengan isu perubahan iklim yang hangat diperdebatkan? 

Adakah ini disebabkan oeh pembangunan yang semakin rancak tetapi tidak mampan. Adakah ini terkait dengan penebangan hutan? Adakah ini memang terkait dengan faktor semula jadi? 

Dalam artikel kali ini, saya cuba berkongsi pengetahuan, ilmu berkaitan cuaca dan iklim, ilmu yang dijana dari pelbagai penyelidikan yang saya dan kumpulan lakukan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Walaupun kita berdepan banjir setiap musim, dari segi risiko bencana iklim, kita masih bernaib baik berbanding negara jiran terutama Filipina dan juga Vietnam. 

Hatyai dilanda banjir menyebabkan ramai rakyat Malaysia terkandas di hotel selain kereta tenggelam.

Beberapa minggu lalu kedua-dua negara ini dilanda bertalu-talu oleh ribut taufan. Terakhir melanda Filipina adalah ribut taufan super Fung Wong yang dari segi saiznya sebesar negara itu,merupakan taufan yang ke-21 tahun ini. 

Negara itu bernasib baik kerana jumlah kematian masih rendah sekitar 30 orang berbanding taufan ke-20, iaitu taufan Kalmaegi yang melanda seminggu sebelum itu, menyebabkan kematian menghampiri 400 orang. 

Seorang anggota penyelamat berjalan menghampiri deretan kereta yang dihanyutkan banjir akibat Taufan Kalmaegi di kawasan perumahan di Cebu City, tengah Filipina. Foto AFP

Berkemungkinan pemindahan penduduk sekitar sejuta orang sebelum taufan Fung Wong melanda, menyumbang kepada kadar kematian yang rendah berbanding Kalmaegi. 

Semasa artikel ini ditulis, satu sistem ribut tropika dalam proses mengukuh dan berkemungkinan akan menjadi taufan yang bergerak ke arah melalui selatan Filipina menuju ke Vietnam. 

Walaupun setiap tahun bilangan taufan yang melanda Filippina adalah sekitar 20, tetapi terdapat pola yang taufan semakin kuat.

Sebagai seorang ahli klimatologi, 2025 adalah tahun yang penuh kejutan dari segi kejadian banjir, taufan dan cuaca ekstrim bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara jiran. 

Ada beberapa faktor yang mungkin menyumbang kepada pola ini. Pertama, suhu permukaan laut di sekitar Asia Tenggara sejak beberapa bulan lalu tinggi berbanding normal. 

Ini berkait dengan keragaman iklim disebabkan oleh fenomena La Nina yang aktif di Lautan Pasifik, menyebabkan pengukuhan angin timuran bertiup ke arah rantau Asia Tenggara dan mengangkut lebih banyak kelembapan menyumbang kepada kadar kelembapan yang tinggi di rantau ini, yang menjadi bahan utama pembentukan hujan ekstrem dan cuaca tidak stabil. 

Angin timuran yang mengukuh dari Luatan Pasifik juga akan menolak air laut bersuhu tinggi ke kawasan barat Lautan Pasifik di mana taufan dijana. 

Kejadian taufan yang bertubi – tubi dan semakin kuat tidak mengejutkan disebabkan peningkatan suhu lautan di kawasan ini. 

Pada masa sama, keadaan di Lautan Hindi pada ketika ini adalah berada dalam keadaan yang selalu dirujuk sebagai fasa negatif Indian Ocean Dipole atau IOD, di mana terdapat pola bertentangan suhu permukaan laut di bahagian timur Lautan Hindi dan laut sekitar Asia Tenggara yang lebih panas berbanding di bahagian barat Lautan Hindi bersuhu lebih sejuk. 

Seperti juga di Lautan Pasifik, pola suhu permukaan laut yang bertentangan ini mengukuhkan pola peredaran atmosfera barat – timur di Lautan Hindi yang meningkatkan angkutan kelembapan ke rantau Asia Tenggara. 

Ini bermakna angkutan kelembapan dari Lautan Hindi dan dari Lautan Pasifik, kedua-duanya ke arah rantau Asia Tenggara, menjadikan rantau ini dengan kelembapan tinggi, yang menjadikan atmosfera menjadi tidak stabil. 

Tetapi bukan sahaja keragaman iklim yang menjadikan suhu laut di sekitar Asia Tenggara menjadi lebih tinggi. Perubahan iklim dan pemanasan global menyumbang kepada pola peningaktan suhu di laut dan lautan, dan lautan di sekitar Asia Tenggara termasuk Luat China Selatan antara laut yang pola peningatan suhu laut yang tinggi disebabkan perubahan iklim.

Faktor – faktor ini akan meningkatkan intensiti hujan ekstrem apabila berlaku episod luruan sejuk seperti yang kita alami pada ketika ini, disebabkan suhu air laut lebih tinggi dan kadar kelembapan atmosfera yang tinggi. 

Bagaimanapun, fenomena banjir bukan hanya bergantung kepada intensiti dan tempoh hujan ekstrem tetapi juga keadaan setempat, pembangunan tidak mampan dan sistem saliran yang tidak terurus akan menyumbang kepada banjir. 

Penebangan hutan akan menyumbang kepada banjir. Kita perlu mengawal faktor tidak terkait iklim sebegini untuk mengawal banjir. Kita perlu menyegerakan projek-projek tambatan banjir untuk mengurangkan risiko banjir. 

Ini penting terutama dengan perubahan iklim yang dijangka semakin meningkat pada dekad-dekad mendatang. 

Untuk musim monsun timur laut kali ini, kita berharap tidak seburuk mana walaupun faktor-faktor yang menjadikan ia lebih kuat sedang berlaku. 

Kita baharu saja mengalami episod lururan sejuk pertama musim ini. Kebiasaanya kita berdepan dengan 5-6 episod setiap musim. 

Kawasan Kelantan dan Terengganu lebih terkesan pada bulan Disember dan Pahang, Johor dan Sarawak lebih dipengaruhi pada bulan Januari, manakala Sabah pada Januari – Februari. Perbezaan masa ini seiring dengan pergerakan palung monsun.

Prof Emeritus Dr. Fredolin Tangang adalah Profesor Emeritus dalam bidang klimatologi dan perubahan iklim di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), felo Akademi Sains Malaysia dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau juga bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Continue Reading

Previous: Keamanan pilihan insan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.