
PETRA JAYA: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 yang membolehkan penambahan sehingga empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau menteri kabinet.
RUU itu dibahaskan oleh 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum diluluskan dengan suara majoriti 74 ahli, manakala dua ahli tidak menyokong.
RUU berkenaan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau menekankan bahawa pindaan tersebut bukan sekadar penambahan bilangan menteri, sebaliknya langkah strategik bagi memperkukuh struktur Kabinet Negeri, meningkatkan kecekapan tadbir urus serta memperkukuh akauntabiliti dalam pelaksanaan dasar kerajaan demi kepentingan rakyat Sarawak, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau menambah, struktur Kabinet yang diperluas ini akan membolehkan kerajaan negeri menumpukan perhatian lebih efektif terhadap isu-isu strategik seperti pembangunan luar bandar, kesejahteraan rakyat serta transformasi ekonomi, sejajar dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur yang berteraskan keseimbangan pembangunan dan kemakmuran untuk semua.
Keputusan pengundian menunjukkan 74 daripada ahli menyokong dan hanya dua ahli tidak menyokong rang undang-undang tersebut, menandakan sokongan padu terhadap usaha kerajaan negeri memperkasakan kapasiti pentadbiran dalam menangani tanggungjawab yang semakin kompleks serta menyokong aspirasi pembangunan negeri ke arah lebih progresif dan berdaya saing.
Pindaan ini dijangka meningkatkan keupayaan kerajaan negeri dalam merancang dan melaksanakan dasar pembangunan jangka panjang termasuk sektor pelancongan, industri kreatif, ekonomi digital serta pembangunan infrastruktur di seluruh Sarawak.
Oleh Norman B