
PETRA JAYA: Pindaan Perlembagaan Negeri Sarawak 2025 mampu membuka laluan lebih luas kepada bakat kepimpinan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak memegang portfolio menteri, kata Dato Rolland Duat Jubin (Meluan-GPS).
Beliau menegaskan ramai ADUN memiliki pengetahuan mendalam, kelayakan profesional serta pengalaman akar umbi yang tinggi, justeru wajar diberi ruang menyumbang pada peringkat eksekutif.
“Melalui mekanisme ini, individu berkeupayaan tinggi yang tidak berada dalam Kabinet pada peringkat awal tetap berpeluang menyumbang kepada hala tuju negeri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025.
Katanya, pentadbiran moden hari ini berdepan isu yang semakin kompleks termasuk tenaga boleh diperbaharui, transformasi digital, sekuriti makanan, pembangunan tanah adat dan keterhubungan luar bandar yang semuanya memerlukan kepakaran khusus.
“Dengan adanya ahli tambahan yang berkemahiran dalam bidang masing-masing, dasar kerajaan dapat digubal dengan lebih strategik dan menyeluruh,” tambahnya.
Selain itu, langkah berkenaan turut memastikan representasi lebih seimbang bagi kawasan luar bandar, komuniti minoriti dan kawasan pesat membangun di seluruh negeri.
“Dalam era transformasi pesat seperti pembangunan ekonomi hidrogen, industri hijau, infrastruktur moden dan ekosistem digital, kerajaan memerlukan pasukan eksekutif yang mampu bertindak pantas dan fleksibel,” jelasnya.
Rolland menegaskan bahawa pindaan tersebut bukan bertujuan memperluas kuasa, tetapi meningkatkan kapasiti pentadbiran demi kualiti kepimpinan, pembuatan keputusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Oleh Norman B