
PETRA JAYA: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula hari ini disifatkan sebagai langkah penting untuk memperkukuh struktur eksekutif negeri, selaras dengan perkembangan pesat keperluan pentadbiran semasa.
Mohamad Duri (Kalaka-GPS) berkata pindaan itu bertujuan menyediakan peruntukan bagi menambah bilangan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), demi memastikan jentera pentadbiran lebih fokus dan berkesan.
Beliau menegaskan bahawa pertambahan tanggungjawab kerajaan negeri, khususnya dalam era pembangunan ekonomi digital, inovasi, serta cabaran keselamatan makanan dan perubahan iklim, menuntut pembahagian portfolio yang lebih khusus.
“Secara mudah, ini langkah memperkukuh jentera kerajaan untuk penyampaian yang lebih berkesan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU tersebut pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Pada masa ini, Sarawak mempunyai 10 menteri penuh dibantu 26 timbalan menteri, angka yang menurut beliau semakin tidak mencukupi berbanding keperluan pentadbiran semasa, sehingga ada menteri memegang dua portfolio penting.
Mohamad Duri menambah bahawa dalam konteks kepelbagaian Sarawak, pertambahan ahli kabinet juga mampu memperkukuh prinsip representasi pelbagai kaum dan agama, sekali gus memastikan keharmonian sosial terus terpelihara.
Beliau menegaskan bahawa timbalan menteri sedia ada telah menjalankan tugas dengan baik, namun perkembangan semasa menuntut struktur yang lebih mantap.
Mengulas keperluan ‘specialisation’ dalam pentadbiran, Mohamad Duri membuat perbandingan dengan hospital yang mempunyai doktor pakar mengikut bidang masing-masing.
“Jika seorang doktor mengendalikan terlalu banyak bidang, ia tidak efisien. Begitu juga dalam kabinet,” jelasnya.
Menurutnya, pembahagian portfolio yang lebih khusus membolehkan kementerian disokong pasukan profesional dan penasihat berkemahiran tinggi, sekali gus menghasilkan dasar yang lebih berkualiti, tepat dan berasaskan data.
Beliau juga menegaskan bahawa kejelasan portfolio meningkatkan akauntabiliti, mengurangkan pertindihan tugas dan mempercepat proses penyelesaian isu rakyat.
Mohamad Duri menarik perhatian kepada perubahan struktur kementerian di peringkat Persekutuan, seperti pemisahan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta pengasingan portfolio Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kementerian berkaitan tenaga, teknologi dan alam sekitar.
Katanya, langkah tersebut terbukti membantu memberi fokus lebih mendalam dalam bidang masing-masing.
Mohamad Duri menegaskan bahawa pertambahan menteri bukanlah tindakan membazir, sebaliknya satu pelaburan jangka panjang untuk meningkatkan produktiviti negeri.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kerajaan harus memastikan tadbir urus yang kukuh serta petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas bagi setiap menteri supaya keberkesanan dan ketelusan dapat dijamin.
“Tanpa perubahan seperti ini, beban seorang menteri akan terus meningkat. Apa yang diusahakan kerajaan hari ini wajar dan signifikan bagi melancarkan pentadbiran serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Oleh Adi Safarman