
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 yang bertujuan meningkatkan jumlah menteri dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) daripada 11 kepada maksimum 15 orang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (Asajaya-GPS) berkata penambahan itu perlu bagi memastikan struktur eksekutif negeri kekal seimbang susulan pertambahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kepada 99 kerusi.
Beliau berkata, peningkatan tanggungjawab kerajaan negeri serta pertambahan sektor yang perlu diberi tumpuan menyebabkan beberapa menteri kini memegang lebih daripada satu portfolio, sekali gus mewujudkan keperluan mendesak untuk meluaskan komposisi kabinet.
“Penambahan ahli MMKN adalah langkah munasabah bagi mengukuhkan jentera pentadbiran negeri, memperkemas koordinasi dasar, dan memastikan portfolio dapat diagihkan secara lebih efektif,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu dalam bacaan kali kedua pada Persidangan DUN hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pindaan tersebut dibuat selaras dengan kuasa negeri di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang memberi hak kepada Sarawak menentukan struktur jentera pentadbirannya sendiri.
“Sarawak berhak memastikan kabinetnya mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin berkembang,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat