Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2025 perkukuh tadbir urus Sarawak
  • SEMASA

DUN: Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2025 perkukuh tadbir urus Sarawak

Utusan Sarawak 2 hours ago
WILSON Nyabong Ijang (Pelagus-GPS) ketika berucap pada persidangan hari pertama Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di sini, hari ini

PETRA JAYA: Usaha Kerajaan Sarawak memperkasa struktur pentadbiran negeri menerusi Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 terus mendapat perhatian apabila Wilson Nyabong Ijang (Pelagus-GPS) menyifatkan pindaan tersebut sebagai langkah penting bagi memantapkan hala tuju pembangunan negeri dalam jangka panjang.

Beliau menjelaskan bahawa pindaan tersebut selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa penuh kepada DUN untuk menentukan struktur serta jumlah keanggotaan Kabinet Negeri. 

Justeru, pindaan itu katanya bukan sahaja wajar dilaksanakan, malah tepat pada masanya memandangkan skop pentadbiran negeri yang semakin meluas.

Mengulas keputusan Dewan semalam yang meluluskan Rang Undang-Undang DUN (Keanggotaan) 2025 bagi menambah bilangan kerusi daripada 82 kepada 99, beliau menegaskan bahawa pembesaran institusi perundangan perlu seiring dengan pengukuhan struktur eksekutif. 

Tambahnya, kerajaan yang berdepan pelbagai isu pembangunan, keperluan rakyat serta pelaksanaan autonomi memerlukan Kabinet yang lebih tersusun dan berfungsi secara optimum.

Menurut beliau, beban kerja kementerian semakin tinggi selaras dengan perkembangan pesat Sarawak dalam bidang ekonomi digital, tenaga hijau, pelaburan bernilai tinggi, pelaksanaan MA63 dan agenda lestari global. Keadaan di mana seorang menteri memegang lebih daripada satu portfolio katanya tidak lagi sesuai kerana boleh menjejaskan kecekapan dasar dan keberkesanan pelaksanaan projek.

Beliau menegaskan bahawa pindaan tersebut bukan untuk menambah jawatan semata-mata, tetapi ia merupakan langkah ke arah memperkasa kerajaan dalam mencapai visi PCDS 2030. Dunia yang bergerak pantas, katanya, menuntut struktur pentadbiran yang lebih tangkas dan bersedia menghadapi perubahan.

Tambahnya lagi, cadangan itu bukan bersifat tergesa-gesa kerana isu berkenaan telah dibangkitkannya dalam dua sidang terdahulu, termasuk keperluan mewujudkan kementerian lebih khusus selaras dengan perkembangan ekonomi moden dan pelbagai sektor baharu.

Beliau menjelaskan bahawa pindaan tersebut adalah kesinambungan logik kepada pembesaran komposisi Dewan, di samping mengelak situasi di mana menteri terpaksa memikul pelbagai portfolio yang luas skopnya. Sektor seperti digitalisasi, hidrogen, perubahan iklim, pendidikan dan kesihatan, katanya, kini menuntut kepimpinan berfokus di peringkat kementerian.

Menurut Wilson, pindaan tersebut sah dari segi perundangan dan berada dalam bidang kuasa penuh Dewan Undangan Negeri berdasarkan Senarai Negeri (Senarai II), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan bahawa pindaan ini merupakan langkah persediaan jangka panjang demi memastikan Sarawak kekal berada di hadapan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, tadbir urus digital dan ekonomi masa depan.

Beliau seterusnya menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 sambil menggesa semua Ahli Dewan turut menyokong demi kepentingan Sarawak untuk dekad akan datang.

Oleh Norman B.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak fokus luar bandar – air, elektrik dan jalan baru sampai kampung
Next: DUN: Elaun ahli majlis PBT, ketua masyarakat dinaikkan – Premier Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.