
PETRA JAYA: Sebanyak RM117 juta diperuntukkan dalam Bajet 2026 bagi memacu pembangunan sukan, belia dan budaya di Sarawak, sebagai persediaan untuk muncul sebagai hab sukan serantau menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha menyeluruh itu penting untuk melahirkan belia berdaya saing serta memperkukuh perpaduan melalui aktiviti sukan.
“Kita mahu Sarawak menjadi kuasa besar sukan rantau ini. Dengan pembangunan bakat, kemudahan bertaraf antarabangsa dan penglibatan belia secara aktif, sasaran ini mampu dicapai,” katanya ketika membentangkan Bajet Sarawak 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Kerajaan memperuntukkan RM117 juta kepada Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Usahawan, termasuk RM73 juta bagi operasi serta program pembangunan sukan di bawah Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan Negeri.
Antara program utama yang diteruskan ialah SUKSAR, Sarawak X-Tive dan penganjuran acara sukan antarabangsa, sebagai persediaan untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 serta menghidupkan kembali Sukan Borneo 2025.
Sebagai persediaan Sukan SEA, kerajaan meluluskan RM107 juta pada 2026 untuk menaik taraf 11 lokasi rasmi, termasuk Stadium Sarawak, Stadium Perpaduan, Kompleks Akuatik Pandelela Rinong, Pusat Boling Padang, gelanggang memanah, pusat latihan wushu dan kemudahan kriket.
Naik taraf itu bertujuan memastikan Sarawak memiliki fasiliti setaraf kejohanan antarabangsa.
Selain itu, RM54 juta disediakan bagi pembinaan dan penambahbaikan kompleks sukan di seluruh negeri bagi memperluas akses rakyat kepada kemudahan rekreasi.
Untuk pembangunan belia, kerajaan memperuntukkan RM1.5 juta bagi pelaksanaan Kajian Indeks Belia Sarawak 2.0, yang akan menjadi asas kepada polisi belia lebih inklusif dan berimpak tinggi.
Sebanyak RM1 juta turut disalurkan kepada Dana Industri Kreatif Belia bagi menyokong penggiat filem, muzik, seni persembahan, media digital dan kraf warisan.
Bagi memperkasa usahawan muda, kerajaan menyediakan RM2.34 juta untuk program keusahawanan seperti Youth Technopreneur 2026, Sarawak Youth Startup Programme, Youth Entrepreneur Setup dan BeliaGoBiz.
Oleh Adele Rissa