Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Ekonomi Sarawak diunjur berkembang 5.0 hingga 6.0 peratus tahun depan – Abang Johari
  • SEMASA

DUN: Ekonomi Sarawak diunjur berkembang 5.0 hingga 6.0 peratus tahun depan – Abang Johari

Utusan Sarawak 2 hours ago
Premier Sarawak ketika bercakap pada persidangan hari pertama Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di Petra Jaya. Foto UKAS

PETRA JAYA: Ekonomi Sarawak diunjurkan berkembang antara 5.0 peratus hingga 6.0 peratus tahun depan, sekali gus mencerminkan ketahanan berterusan di tengah-tengah ketidaktentuan global.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata secara keseluruhan, ekonomi Sarawak dijangka mengekalkan trajektori positifnya, disokong terutamanya oleh keadaan domestik yang menggalakkan, meskipun permintaan luar menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan.

“Unjuran ini disokong oleh perkembangan stabil dalam sektor-sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan, dan pembinaan, selain pelaburan yang berterusan dalam infrastruktur dan tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 pada hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Abang Johari berkata dari segi penawaran, sektor perkhidmatan yang menyumbang hampir 40 peratus kepada ekonomi Sarawak dijangka berkembang 6.4 peratus pada 2025.

Katanya, pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan dalam industri pelancongan dan hospitaliti, dengan kedatangan pelawat perniagaan, pelabur dan pelancong meningkat sebanyak 7.0 peratus dari Januari hingga September 2025 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata usaha berterusan Sarawak untuk memperluas aktiviti perdagangan dan logistik dijangka merangsang pertumbuhan dalam subsektor sokongan utama termasuk utiliti, pengangkutan, penyimpanan, komunikasi dan perkhidmatan kerajaan.

“Melengkapkan usaha ini ialah pembangunan menara telekomunikasi yang dipercepatkan, yang meluaskan capaian digital dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

“Sektor perlombongan dijangka mencatat prestasi lebih kukuh pada 2025, dengan pertumbuhan diunjurkan pada 3.6 peratus. Pengembangan ini didorong oleh peningkatan keluaran daripada medan gas asli sedia ada dan permulaan projek baharu seperti Medan Gas Jerun dan Projek Pembangunan Gas Kasawari, khususnya pada separuh kedua 2025.

“Pertumbuhan ini turut disokong oleh permintaan gas asli sebagai bahan suapan untuk loji metanol Sarawak Petchem di Bintulu, yang dibekalkan melalui saluran paip khusus daripada sumber gas Sarawak sendiri.

“Dengan Petroa sebagai pengagregat gas tunggal, Sarawak berada pada kedudukan terbaik untuk mengoptimumkan pengurusan sumber gas dan meningkatkan penciptaan nilai sepanjang rantaian bekalan tenaga,” katanya.

Sementara itu, sektor pembuatan dijangka berkembang secara sederhana antara 2.0 peratus hingga 2.5 peratus pada 2025, mencerminkan penyederhanaan sementara dalam pengeluaran gas asli cecair (LNG) akibat henti tugas tidak berjadual dan kerja penutupan berjadual, termasuk di Terminal Minyak Mentah Bintulu.

Bagaimanapun katanya, operasi loji metanol Sarawak Petchem di Bintulu telah memperluas asas pembuatan megeri dan kapasiti eksport, sekali gus mengukuhkan hubungan hiliran dalam ekosistem perindustrian.

Sektor pertanian katanya, dijangka mencatat pertumbuhan sederhana, dengan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) meningkat 1.7 peratus dari Januari hingga September 2025.

Produktiviti bertambah baik apabila hasil buah tandan segar meningkat daripada 10.97 tan sehektar pada 2024 kepada 11.17 tan sehektar pada 2025.

Dalam tempoh sama, harga purata CPO di Sarawak ialah RM4,258 setan.

Pada masa hadapan, pengeluaran CPO dijangka mengekalkan momentum meningkat, didorong oleh permintaan kukuh dari negara pengimport utama seperti India dan China.

“Sejajar itu, sektor pertanian dijangka berkembang 1.6 peratus pada 2025.

“Sektor pembinaan dijangka mengekalkan momentum kukuh, dengan pertumbuhan 9.4 peratus pada 2025.

“Pengembangan ini didorong terutamanya oleh pelaksanaan aktif projek infrastruktur utama, khususnya di subsektor kejuruteraan awam, serta kemajuan berterusan dalam segmen pembinaan kediaman,” katanya.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Bajet Sarawak 2026 fokus perlindungan sosial, pemerkasaan ekonomi, rumah mampu milik
Next: DUN: Sarawak sasar jadi hab sukan serantau 2030, RM117 juta diperuntuk dalam Bajet 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.