
PETRA JAYA: Bajet Sarawak 2026 memperuntukkan RM51 juta khusus bagi memperkasakan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta membangunkan pusat keusahawanan di luar bandar dan pedalaman.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, RM31 juta disediakan untuk pelbagai program sokongan kepada PMKS termasuk skim kredit mikro, program peningkatan usahawan bumiputera dan bimbingan keusahawanan.
“Tambahan RM20 juta disalurkan bagi latihan dan peningkatan kemahiran usahawan melalui Sarawak Recovery BizFund.
“Kerajaan juga memperkenalkan Program Anjung Usahawan dengan peruntukan RM9.6 juta untuk menubuhkan 16 pusat keusahawanan di seluruh Sarawak bagi membina kapasiti dan memudahkan akses pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika persidangan hari pertama Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di sini, hari ini.
Tambah beliau, platform digital baharu akan dilancarkan tahun depan untuk mempermudah proses urusan perniagaan, mempercepat kelulusan dan mengurangkan birokrasi.
“InvestSarawak terus menjadi rakan strategik dalam memudahkan pelaburan dan perkhidmatan pelabur bagi menarik pelaburan berimpak tinggi ke negeri ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Bajet 2026 juga memperuntukkan RM58.2 juta untuk pembangunan taman perindustrian moden di Kuching, Sibu, Lawas, Limbang dan Samalaju bagi membuka peluang pekerjaan dan mempercepat pertumbuhan ekonomi.
“Kajian Penilaian Impak sebanyak RM2.65 juta juga akan dijalankan bagi memastikan pembangunan taman perindustrian memberi nilai optimum kepada negeri.
“Kerajaan mensasarkan pelaburan strategik dalam sektor tenaga, petrokimia, pembuatan maju, pelancongan dan perkhidmatan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.
“Untuk mengukuhkan lagi promosi perdagangan dan pelaburan, RM6 juta disediakan untuk ekspo perdagangan dan misi pelaburan serta RM6 juta lagi kepada InvestSarawak bagi misi domestik dan antarabangsa,” ujarnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa Sarawak juga menggerakkan pejabat perdagangan dan pelancongan di Singapura, Brunei dan Pontianak, Kalimantan dengan peruntukan RM21 juta sebagai pintu masuk strategik ke rantau ASEAN.
Katanya, langkah itu dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan memacu kemajuan ekonomi bagi rakyat Sarawak di pelbagai lapisan masyarakat.
Oleh Masrin Affirah