
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak hari ini membentangkan Cadangan Bajet 2026 yang digarap dengan tema ‘Berdayakan Rakyat, Memajukan Kesejahteraan, Membina Masa Depan yang Tahan Lasak’ bagi memastikan rakyat terus diperkasakan dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin tidak menentu.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tema tersebut mencerminkan keyakinan kerajaan bahawa rakyat merupakan aset terbesar negeri dan setiap Sarawakian wajar diberikan ruang untuk menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negeri.
“Pembentangan bajet tahun ini dibuat ketika ekonomi dunia masih berdepan ketidakstabilan, termasuk perubahan pakatan perdagangan antarabangsa, peningkatan dasar perlindungan serta kesan ketara transformasi teknologi global.
“Kejatuhan harga minyak dunia daripada AS$88 setong kepada sekitar AS$74 setong pada suku ketiga tahun ini turut memberi kesan langsung terhadap pendapatan negara dan ruang fiskal negeri.
“Bagaimanapun, Sarawak kekal berada pada kedudukan fiskal yang kukuh hasil pengurusan kewangan berhemat, kepelbagaian sumber pendapatan dan rizab negeri yang kuat sekali gus membolehkan negeri ini terus melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika persidangan hari pertama Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa cukai jualan ke atas produk petroleum serta dividen daripada syarikat milik kerajaan telah membantu menyediakan penampan penting kepada kejutan ekonomi luar yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Bajet 2026 dirangka bagi memastikan Sarawak kekal kompetitif, tangkas dan berdaya tahan melalui pengukuhan struktur fiskal, perbelanjaan yang berdisiplin serta pelaburan strategik merangkumi pendidikan, infrastruktur, inovasi, pendigitalan dan kelestarian alam sekitar.
“Bajet tersebut juga menumpukan kepada pembangunan inklusif yang memastikan kekayaan dan peluang diagihkan secara saksama agar tiada rakyat tercicir daripada arus kemajuan negeri.
“Kerajaan turut menekankan matlamat Bajet 2026 untuk mentransformasikan Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh kedudukan kewangan negeri, menjadikan Sarawak hab ekonomi serantau dan mempercepat peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa pembentangan kali ini dilandaskan sembilan teras strategik.
“Ini merangkumi pemodenan ekonomi, penarikan pelaburan berkualiti, pembangunan modal insan, pengurusan sumber alam secara mampan, pengukuhan pembangunan luar bandar, peningkatan kebajikan rakyat serta kecekapan perkhidmatan awam.
“Saya yakin Bajet 2026 akan menjadi pemacu kepada masa depan negeri yang lebih makmur, seimbang dan berdaya saing selari dengan aspirasi Sarawak menuju ekonomi hijau yang berprofil tinggi.
Oleh Masrin Affirah