Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Penerbangan tanpa henti perlu, nadi utama mobiliti global
  • KOLUMNIS

Penerbangan tanpa henti perlu, nadi utama mobiliti global

Utusan Sarawak 4 hours ago

KEPESATAN teknologi komunikasi masa kini memudahkan kita untuk ‘bertemu’ sesiapa sahaja walaupun berada di seberang laut. Namun, ia tidak sekali-kali dapat menggantikan kehangatan pertemuan fizikal yang lebih berharga pada emosi dan hubungan insani.

Justeru, keperluan untuk merapatkan jurang geografi secara langsung telah mendorong perkembangan pengangkutan dari kapal laut tradisional kepada pesawat terbang yang menawarkan perjalanan lebih pantas dan efisien.

Namun, manusia sentiasa mahukan lebih. Peniaga mengejar peluang, pelancong mengejar pengalaman dan keluarga mengejar pertemuan. Maka, kepantasan bukan sekadar pilihan, tetapi satu tuntutan.

Oleh itu, penerbangan yang ada transit untuk mengisi bahan api atau terpaksa menukar pesawat lain untuk ke destinasi pastinya akan menjejaskan kecekapan masa dan memanjangkan tempoh perjalanan.

Atas dasar inilah, syarikat pengeluar pesawat sentiasa mencari idea baharu untuk mereka bentuk pesawat serta enjin yang mampu mencapai jarak penerbangan tanpa henti yang lebih jauh.

Bagaimanapun, bagi mengadakan penerbangan ultra long-haul (ULH) yang memakan masa lebih 12 jam dan melebihi 7,000 kilometer (km) ini bukanlah satu keputusan mudah.

Ia menuntut pertimbangan yang seimbang untuk memastikan manfaat optimum bukan sahaja kepada syarikat penerbangan, malah juga kepada penumpang.

Kebanyakan permintaan bagi ULH disebabkan kelebihannya yang lebih pantas dan mudah, iaitu tanpa keperluan transit sekali gus mengelakkan semakan imigresen serta risiko kehilangan bagasi.

Malah, ia dapat menawarkan keselesaan lebih tinggi untuk tempoh perjalanan yang panjang.

Namun begitu, bagi pihak syarikat penerbangan, walaupun permintaan tinggi terhadap laluan ini, ia tidak semestinya dapat dipenuhi serta-merta kerana pertimbangan kos operasi dan keperluan logistik yang kompleks.

Hal ini kerana apabila pesawat perlu menempuh penerbangan jarak jauh, maka pesawat berkenaan terpaksa membawa lebih 100 tan bahan api. Jumlah ini hampir menyamai separuh daripada berat berlepas maksimumnya sendiri.

Oleh itu, syarikat penerbangan mesti mengambil kira bilangan penumpang yang boleh dibawa serta harga bahan api semasa agar modal untuk perjalanan ini tidak hangus malah boleh menjana lebih keuntungan.

Apabila kuantiti bahan api yang diperlukan adalah besar, maka ruang kabin perlu dikurangkan bagi menampung beban tersebut. Keadaan ini menyebabkan jumlah tempat duduk menjadi terhad.

Justeru, konfigurasi tempat duduk pesawat ULH adalah premium dengan harga tiket yang tinggi bagi mengimbangi kekurangan kapasiti tersebut.

Tempoh penerbangan yang panjang juga memerlukan pesawat ULH ini membawa kru tambahan.

Disebabkan had masa kerja yang ketat, syarikat wajib membawa dua set juruterbang serta beberapa kru kabin tambahan bagi memastikan tahap keselamatan serta kualiti perkhidmatan berada dalam keadaan yang tinggi.

Langkah ini pastinya meningkatkan kos gaji dan elaun perjalanan yang perlu ditanggung oleh syarikat penerbangan.

Akan tetapi, sekiranya harga bahan api meningkat walaupun sedikit, laluan ULH ini boleh menjadi tidak ekonomik untuk diteruskan disebabkan margin keuntungan yang tipis.

Pada era pesawat jet sekitar 1950-an dan 1960-an, model seperti Boeing 707 dan Douglas DC-8 membuka laluan penerbangan antara benua tanpa henti sekali gus mengubah pola permintaan pengangkutan udara.

Pesawat Boeing 707 yang dioperasikan oleh Pan American World Airways (Pan Am) pada 1958 dan pesawat Douglas DC-8 di bawah kendalian United Airlines membukti laluan rentas atlantik dan rentas pasifik mempunyai pelanggannya yang tersendiri.

Kedua-dua pesawat ini mampu terbang sejauh sekitar 9,600 hingga 9,900 km menjadikan laluan seperti New York ke London dan Los Angeles ke Tokyo dapat dilaksanakan tanpa henti buat pertama kalinya.

Kejayaan Boeing 707 ini mendorong permintaan perjalanan udara yang tinggi, namun kapasitinya dianggap terhad. Melihat potensi ini, Pan Am mendesak Boeing untuk mereka bentuk sebuah pesawat badan lebar (widebody) yang lebih besar.

Kerjasama ini akhirnya dapat melahirkan Boeing 747 yang turut dikenali sebagai ‘Ratu Udara’.

Pesawat jumbo ini memulakan penerbangan sulung komersialnya pada 22 Januari 1970 dari New York ke London dengan membawa kira-kira 330 penumpang penerbangan ULH yang pertama melebihi 18 jam. 

Walaupun berjaya, laluan sejauh 15,000 km ini akhirnya ditutup kerana kos operasi yang tinggi pada 2013 disebabkan penggunaan empat enjin yang tidak efisien.

Sungguhpun begitu, Singapore Airlines tetap terus menjadi pelopor dalam penerbangan komersial terpanjang dunia sejak 2018 melalui laluan Singapura ke New York dengan menggunakan Airbus A350-900ULR.

Singapore Airlines tetap terus menjadi pelopor dalam penerbangan komersial terpanjang dunia sejak 2018 melalui laluan Singapura ke New York dengan menggunakan Airbus A350-900ULR.

Penerbangan sejauh 15,300 km yang mengambil masa hampir 19 jam ini menetapkan penanda aras baharu untuk pasaran ULH yang menawarkan kemewahan, keselesaan dan kecekapan bahan api yang luar biasa dalam kelasnya.

Selain Singapore Airlines, syarikat penerbangan lain yang aktif dalam segmen ULH ini ialah Qantas Airways, Emirates, United Airlines dan lain-lain.

Syarikat Boeing pada 2005 turut mencatatkan rekod penerbangan yang terjauh iaitu meliputi jarak lebih 21,600 km dalam masa 22 jam.

Namun, rekod penerbangan tanpa henti dari Hong Kong ke London ini dibuat atas tujuan demontrasi kepada pelanggan yang berpotensi seperti Pakistan International Airlines dan Singapore Airlines bukannya komersial.

Qantas Airways antara syarikat penerbangan yang aktif dalam segmen penerbangan ultra long-haul (ULH).

Keupayaan untuk merealisasikan ULH adalah hasil inovasi kejuruteraan moden, terutamanya pembinaan struktur pesawat dengan menggunakan lebih 50 peratus bahan komposit seperti serat karbon berbanding logam aluminium pada pesawat lain.

Pesawat seperti Airbus A350 dan Boeing 787 mendapat manfaat ini apabila bahan komposit yang digunakan bukan sahaja lebih ringan malah ia lebih kuat dan tahan kakisan.

Hasilnya, sayap yang fleksibel dapat direka bagi membolehkan pesawat menghasilkan daya angkat secara optimum, selain itu ia turut menyokong sistem tekanan kabin yang lebih tinggi, bersamaan dengan ketinggian sekitar 1,800 meter berbanding 2,400 meter pada pesawat konvensional.

Tekanan yang lebih hampir kepada atmosfera di permukaan bumi dengan ketara dapat membantu mengurangkan keletihan penumpang sepanjang penerbangan.

Di samping itu, kecekapan penerbangan ULH turut disokong oleh penggunaan enjin generasi baharu seperti Rolls-Royce Trent XWB dan General Electric GE9X yang direka khusus untuk prestasi maksimum dan kecekapan bahan api.

Kedua-dua enjin ini menampilkan nisbah laluan pintasan (bypass ratio) yang tinggi, membolehkan sejumlah besar udara memintas teras enjin tanpa melalui pembakaran.

Reka bentuk ini menghasilkan tujahan yang lebih besar dengan pembakaran lebih cekap selain paras bunyi lebih rendah. Ciri-ciri ini menjadikannya sesuai untuk operasi jangka panjang yang senyap dan mesra alam.

Selain itu, pesawat ULH turut dilengkapi dengan sistem kawalan penerbangan fly-by-wire yang canggih dan perisian perancangan laluan dinamik.

Sistem pintar ini membolehkan pengoptimuman profil penerbangan secara masa nyata dengan mengambil kira faktor seperti angin lintang, suhu atmosfera dan berat pesawat sepanjang penerbangan.

Dengan itu, setiap titisan bahan api dapat dimanfaatkan secara optimum, sekali gus dapat memastikan penggunaan bahan api yang lebih cekap dan lestari.

Walaupun pesawat canggih digunakan, namun salah satu cabaran utama penerbangan ULH ialah kekurangan lapangan terbang alternatif, terutama ketika merentasi lautan luas dan kawasan terpencil seperti Artik.

Perkara yang dikhuatiri untuk laluan ini adalah jika salah satu enjin pesawat tiba-tiba tidak berfungsi, pastinya akan mengakibatkan situasi kecemasan untuk mendarat dalam keadaan yang selamat.

Oleh sebab itu, pensijilan Extended-range Twin-engine Operational Performance Standards (ETOPS) amat kritikal bagi pesawat enjin berkembar.

ETOPS menetapkan tahap kebolehpercayaan enjin yang sangat tinggi bagi membolehkan pesawat terbang dengan selamat, menggunakan hanya satu enjin selama berjam-jam sehingga tiba ke lapangan terbang yang sesuai.

Tanpa pensijilan ETOPS, penerbangan di laluan terpencil dan ULH ini tidak akan dibenarkan oleh pihak berkuasa penerbangan.

Risiko seperti Deep Vein Thrombosis (DVT) boleh berlaku akibat duduk terlalu lama selain dehidrasi dan gangguan ritma sirkadian yang merupakan risiko kesihatan yang perlu ditangani secara proaktif.

Bagi mengurangkan kesan ini, pesawat moden bukan sahaja mengekalkan tekanan kabin pada paras yang lebih selesa, malah meningkatkan tahap kelembapan udara dan menggunakan sistem pencahayaan LED adaptif yang boleh diselaraskan mengikut waktu siang dan malam di destinasi.

Pendekatan ini membantu menyelaraskan jam biologi penumpang dan mengurangkan keletihan akibat perubahan zon waktu.

Selain kesan kepada penumpang, keletihan juga merupakan ancaman keselamatan paling serius bagi kru penerbangan.

Malah, walaupun pesawat dilengkapi ruang rehat khas, gangguan terhadap ritma biologi yang menyebabkan keletihan ini tetap tidak dapat dielakkan.

Oleh itu, penjadualan kru perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan masa rehat mencukupi dan mengelakkan beban kognitif yang boleh menjejaskan prestasi dan keselamatan penerbangan.

Masa depan penerbangan ULH menjanjikan revolusi baharu. Dalam dekad akan datang, projek seperti Qantas Sunrise akan membuka laluan 20 jam tanpa henti, manakala konsep jangka panjang seperti pesawat bertenaga hidrogen dan reka bentuk blended-wing-body (BWB) berpotensi mengubah landskap penerbangan sepenuhnya.

Pada hakikatnya, penerbangan ini adalah bukti gabungan aspirasi manusia dan pencapaian kejuruteraan yang luar biasa. Selagi dunia memerlukan hubungan yang pantas dan terus, ia akan kekal menjadi nadi utama mobiliti global.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Tiada komitmen 1/3 kerusi Parlimen, Sarawak tunggu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.