KUCHING: Sarawak merekodkan satu lagi kes kematian akibat Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negeri ini sebanyak 15 setakat semalam.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mangsa ke-15 adalah seorang lelaki berumur 69 tahun.
“Kes mula sakit pada 3 April dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 6 April lalu, manakala keputusan sampel kes 7 April adalah positif Covid-19.
“Kes mempunyai ‘co-morbid’ dan meninggal dunia pada 21 April jam 2.28 pagi.
“Kes ini tidak mempunyai sejarah kontak mana-mana kes positif Covid-19 yang dikenalpasti setakat ini,” katanya.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata demikian pada sidang media harian kemaskini Covid-19, di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media berasingan di Kuala Lumpur semalam menjelaskan kes kematian mangsa adalah ke-91 negara (kes ke-4090) dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.
Mengulas lanjut, Uggah berkata Sarawak semalam merekodkan sebanyak 22 lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak 436 sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.
“Kesemua 22 kes itu dirawat di HUS, manakala, 190 kes baharu orang yang disyaki (PUI) Covid-19 dilaporkan dan 191 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.
“Sekarang ini kita hanya memerlukan masa sekitar 24 jam untuk menunggu keputusan ujian makmal.
“Ini adalah salah satu pencapaian Sarawak, dengan mendapat keputusan ujian lebih cepat berbanding sebelumnya,” jelasnya.
Tambah Uggah, semalam terdapat 20 lagi kes positif sembuh dan discaj dari hospital menjadikan jumlah keseluruhan adalah 88 kes discaj dan dibenarkan pulang.
Menurut Uggah, bagi jumlah kadar insiden kes positif bagi 100,000 penduduk Sarawak, adalah 13.7 peratus setakat semalam.
“Bagi kes positif berdasarkan kluster Covid-19 di Sarawak, Persidangan Kuching merekodkan 139 kes, Tabligh (95), Family RK (59), 17 Sub Kluster (57), tiga Kluster Kecil – tidak diketahui jangkitan (10), dan masih dalam siasatan – 22 yang baharu (76),” tambahnya.