
KUCHING: Ketua Polis Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata kemalangan melibatkan lori di bandar ini kekal menjadi kebimbangan sejak tiga tahun lalu, dengan tren menunjukkan risiko konsisten di laluan utama dan semasa waktu trafik tinggi.
Beliau memaklumkan Kuching merekodkan 244 kemalangan melibatkan lori pada 2024, 209 kes pada 2023, dan 145 kes dari Januari hingga Oktober tahun ini. Walaupun kadar kematian rendah iaitu dua kes maut pada 2024, empat pada 2023, dan dua kes sehingga Oktober 2025 namun ia tetap membimbangkan.
Menurut Alexson, kebanyakan kemalangan berpunca daripada faktor pemandu seperti kecuaian, memandu laju, pandu lalai, mengekori terlalu rapat, dan keletihan terutamanya bagi pemandu jarak jauh. Faktor lain termasuk muatan berlebihan, penyelenggaraan kenderaan yang lemah (brek dan tayar), serta keadaan jalan dan persekitaran.

Kes melibatkan pemandu lori di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah sangat kecil berbanding faktor kecuaian dan keletihan.
Sementara itu, beberapa laluan mencatatkan kadar kemalangan lebih tinggi, antaranya Kuching–Samarahan, Kuching–Serian, Jalan Pelabuhan, dan Jalan Demak Laut.
Katanya, kemalangan serius sering berlaku sebelum subuh, awal pagi, dan waktu malam apabila jarak penglihatan berkurang serta tahap keletihan meningkat.
Risiko kemalangan turut meningkat pada waktu siang di lebuh raya utama apabila jumlah kenderaan bertambah dan pergerakan jalan menjadi lebih sesak.
Tambahnya, polis terus bekerjasama dengan JPJ dan LPKP Sarawak melalui operasi bersepadu, kempen keselamatan, dan penguatkuasaan, termasuk Op Selamat, pemeriksaan lori terlebih muatan, serta pematuhan permit dan pelesenan.
Mengenai peranti had laju (Speed Limitation Device), Alexson berkata kesannya masih belum dapat diukur sepenuhnya kerana penguatkuasaan masih dijalankan secara berperingkat, tetapi data dijangka lebih jelas apabila pematuhan penuh dicapai.
Beliau menegaskan lori yang terlebih muatan atau tidak diselenggara dengan baik meningkatkan risiko kemalangan, termasuk kegagalan brek, letupan tayar, dan ketidakstabilan.
Polis memastikan pematuhan melalui siasatan kemalangan, pemeriksaan mekanikal, operasi penguatkuasaan, dan tindakan terhadap kesalahan memandu berbahaya.
Alexson menasihati pemandu lori supaya mematuhi had muatan, mengikat kargo dengan betul, menyelenggara kenderaan, mematuhi waktu rehat, dan tetapan peranti had laju.
Pemandu juga digalakkan mengelakkan gangguan ketika memandu dan melakukan pemeriksaan harian kenderaan.
Bagi pengguna jalan raya lain, beliau menggesa kesabaran dan kesedaran ketika berkongsi jalan dengan lori, termasuk memberi ruang mencukupi, mengelakkan memotong secara mengejut, menjauhi titik buta, dan berhati-hati pada waktu malam atau awal pagi.
Oleh Connie Chieng