
KUCHING: Keluarga perlu kembali menjadi benteng utama dalam pembentukan masyarakat beretika dan berdaya tahan, terutama ketika anak-anak kini berhadapan pelbagai cabaran baharu termasuk tekanan emosi dan pengaruh media sosial.
Demikian kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri ketika berucap pada Majlis Penutupan Kem KASIH Keluarga 2.0 bersempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 di Damai Central, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pengukuhan institusi keluarga merupakan keutamaan kerajaan dan menjadi asas kepada pembangunan sosial negara.
Menurutnya, mesej itu turut selari dengan ucapan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah, bahawa rumah tangga ialah tempat perlindungan dan pemulihan jiwa dalam dunia yang semakin mencabar.
“Program seperti Kem KASIH Keluarga membuka ruang kepada ahli keluarga untuk kembali berhubung, mendengar antara satu sama lain dan membina empati, elemen yang semakin kurang dalam kehidupan moden,” jelasnya.
Beliau menegaskan, pengukuhan keluarga perlu dilaksanakan secara holistik merangkumi ilmu keibubapaan, komunikasi berkesan, disiplin positif serta sokongan komuniti.
Usaha itu dilaksanakan selari Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara dan strategi Rancangan Malaysia ke-13.
Mengulas inisiatif kementerian, Nancy berkata penekanan khusus diberikan kepada hubungan suami isteri, pendidikan keibubapaan dengan tumpuan kepada bapa, pengurusan emosi serta intervensi kepada keluarga yang memerlukan.
Beliau turut menyentuh pelaksanaan Program Lelaki Budiman, dengan peruntukan RM4 juta bagi membangunkan modul serta program advokasi untuk memperkukuh peranan lelaki sebagai ketua keluarga dan ejen pembangunan sosial.
Pada masa sama, Modul Kebapaan sebagai Peneraju Kepimpinan Bapa yang dilancarkan awal bulan ini bertujuan membantu bapa mengimbangi tuntutan kerja dan keluarga serta mengurus tekanan secara bijak.
“Tiada bapa yang sempurna, tetapi setiap bapa mampu menjadi sumber kekuatan kepada keluarga mereka,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat