
SANTUBONG: Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) kini menjadi pemangkin utama yang mendorong lebih ramai lelaki tampil melaporkan gangguan seksual, sekali gus memecahkan kebiasaan lama apabila golongan itu sebelum ini berasa segan, takut dan tidak yakin untuk membuat aduan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, peningkatan laporan dalam kalangan lelaki dikesan sejak PSSS diperkukuh, apabila lebih 1,000 aduan diterima melalui saluran kaunselor PSSS, berbanding hanya sekitar 100 aduan sebelum ini yang direkodkan melalui statistik polis.
Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan keyakinan lelaki terhadap sistem sokongan semakin meningkat, khususnya sejak Tribunal Anti Gangguan Seksual mula beroperasi sepenuhnya.
“Dulu masa kita mula advokasi, hanya dalam 100 lebih laporan daripada lelaki dan itu pun dari pihak polis. Tetapi bila PSSS diperkukuhkan, kita sudah melihat angka mencecah lebih 1,000 laporan kerana mereka melapor kepada kaunselor kami,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua kes yang diterima tribunal boleh diterima untuk dibicarakan kerana faktor fakta dan bukti yanh tidak kukuh, namun tribunal berfungsi untuk melindungi semua pihak tanpa mengira jantina.
Nancy berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kem Kasih Keluarga 2.0 di Damai Central, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata kerajaan menyediakan potongan cukai 100 peratus kepada syarikat swasta bagi penganjuran aktiviti Hari Keluarga, temasya tahunan, sukan syarikat, makan malam tahunan, dan program pembinaan pasukan (team building).
“Ia memberi suasana kerja yang lebih harmoni dan produktif. Kita mahu institusi keluarga diperkukuhkan, termasuk melalui aktiviti yang melibatkan pekerja dan keluarga mereka,” jelasnya.
Insentif itu diperkenalkan dua tahun lalu, namun sambutannya masih perlahan kerana tidak ramai majikan memohon melalui kementerian, sebaliknya terus ke Kementerian Kewangan (MOF).
Oleh Shahrul Qaizat