
SEBUYAU: Kerajaan Sarawak mengambil keputusan untuk membiayai sepenuhnya projek naik taraf bekalan elektrik di Samarahan selepas peruntukan yang pernah diumumkan Kerajaan Persekutuan gagal dilaksanakan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek tersebut sebelum ini diumumkan oleh kementerian Persekutuan namun tidak diteruskan sehingga peruntukan itu sendiri tidak lagi wujud.
“Kerajaan negeri tidak boleh menunggu lebih lama memandangkan keperluan tenaga di kawasan Samarahan semakin meningkat akibat perubahan gaya hidup dan perkembangan kawasan baharu.
“Kita terpaksa ambil alih projek ini kerana pengumuman telah dibuat tetapi pelaksanaannya tidak berlaku dan akhirnya peruntukan itu pun sudah tidak ada lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Naiktaraf Bekalan Elektrik Bahagian Samarahan di Dewan Kampung Sampat, hari ini.
Beliau mengulas lanjut bahawa kerajaan negeri memperuntukkan RM150 juta bagi memastikan kerja naik taraf dapat dilaksanakan segera tanpa bergantung kepada pusat.
Beliau menegaskan bahawa projek tersebut penting kerana sistem sedia ada masih menggunakan ‘single phase’ sejak 1979 dan ia tidak lagi mampu menampung permintaan semasa.
“Penaiktarafan ini melibatkan penyediaan bekalan tiga fasa di seluruh Bahagian Samarahan termasuk pembinaan dua substation di Asajaya dan Sebuyau.
“Kabel yang digunakan juga merupakan jenis moden bagi mengurangkan risiko gangguan serta masalah tripping yang kerap berlaku ketika permintaan meningkat.
“Apabila wayar moden digunakan dan bekalan cukup, gangguan bekalan akan berkurangan dan rakyat dapat hidup dengan selesa,” jelasnya.
Tambah beliau, projek berkenaan merupakan sebahagian usaha menjadikan seluruh selatan Sarawak mempunyai bekalan elektrik setaraf bandar dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.
“Selepas Sebuyau, kerja akan diteruskan ke kawasan Betong dan Sri Aman sebelum keseluruhan rangkaian selatan diselaraskan sebagai grid baharu.
“Kita mahu seluruh Sarawak akhirnya menerima bekalan tiga fasa supaya tiada lagi jurang bekalan antara bandar dan kawasan luar bandar,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah