
SANTUBONG: Larian Laluan Alam Semula Jadi Antarabangsa Santubong 2025 yang berlangsung di Taman Negara Santubong hari ini mencatatkan penyertaan tertinggi sejak penganjurannya empat tahun lalu.
Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan komitmen Sarawak dalam usaha pemuliharaan biodiversiti serta pembangunan rekreasi berteraskan alam sekitar.
Acara itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras projek agensi pembangunan wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Abdul Rahman Junaidi yang menekankan kepentingan penganjuran sedemikian dalam mempromosikan khazanah semula jadi negeri.
Beliau berkata larian itu bukan sahaja acara sukan tetapi peringatan bahawa hutan, hidupan liar dan kawasan perlindungan mesti dipelihara untuk generasi akan datang.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada renjer, sukarelawan dan komuniti setempat yang memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kelestarian kawasan berkenaan.
Larian berteraskan konservasi itu menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang SFC untuk meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap kawasan perlindungan sambil menyokong inisiatif pelancongan mampan negeri.
Melalui penganjuran aktiviti rekreasi secara terkawal di kawasan dilindungi, program ini membantu memperluas kesedaran awam mengenai keutamaan pemuliharaan serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam ekopelancongan. Ia turut memainkan peranan dalam meningkatkan profil SDGp sebagai destinasi geopark unggul.
Selain itu, program ini mempromosikan gaya hidup sihat dan memperkukuh penjenamaan pelancongan Sarawak melalui penganjuran acara berimpak tinggi.
Acara anjuran Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak menerusi Unit Pengurusan Geopark itu menarik seramai 600 peserta, menggandakan jumlah penyertaan berbanding edisi awal sejak mula dianjurkan pada 2022.



Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi merakam kenangan bersama para pemenang Larian Laluan Alam Semula Jadi Antarabangsa Santubong 2025 di Taman Negara Santubong, hari ini. Foto SFC
Penyertaan turut merangkumi pelari dari seluruh Malaysia selain wakil dari Filipina, India dan United Kingdom yang mencerminkan daya tarikan antarabangsa terhadap produk ekopengembaraan dan sukan lasak negeri ini.
Direka sebagai acara yang memberi pengalaman langsung kepada peserta mengenai khazanah alam Sarawak, larian itu membawa peserta melalui hutan hujan dara, cerun berbukit, bongkah batu dan laluan pesisir pantai yang menjadi identiti Taman Negara Santubong.
Sepanjang laluan, peserta turut melewati beberapa titik biosit penting dalam Sarawak Delta Geopark (SDGp) termasuk Wallace Point, lokasi bersejarah dan ilmiah yang dikaitkan dengan naturalis Alfred Russel Wallace, sekali gus memperkenalkan mereka kepada nilai geologi, ekologi dan warisan yang menjadikan kawasan itu tapak pemuliharaan utama negeri.
Larian tahun ini menawarkan empat kategori iaitu 20km, 10km, 6km dan 3km, melibatkan penyertaan atlet kompetitif, pelari rekreasi, pencinta alam dan keluarga.


Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi merakam kenangan bersama para pemenang Larian Laluan Alam Semula Jadi Antarabangsa Santubong 2025 di Taman Negara Santubong, hari ini. Foto SFC
Sebanyak RM19,400 jumlah hadiah disediakan, dengan pengendalian teknikal diselaras Grit Event bagi memastikan aspek keselamatan serta penganjuran berjalan lancar.
Penganjuran kali ini turut menonjolkan kerjasama strategik antara agensi termasuk Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Persatuan Kayu Balak Sarawak (STA) dan Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) dalam usaha memperkukuh keterlihatan SDGp di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata peningkatan penyertaan setiap tahun menunjukkan kesediaan masyarakat untuk mendekati alam secara bertanggungjawab.
Beliau menegaskan bahawa penganjuran acara berteraskan konservasi seperti ini mampu memupuk kesedaran lebih mendalam terhadap biodiversiti Sarawak di samping menonjolkan Taman Negara Santubong sebagai landskap perlindungan penting yang berada di bawah SDGp.
Menurutnya, kerjasama antara agensi turut membuktikan komitmen bersama memperluas jangkauan mesej pemuliharaan melalui program komuniti yang berimpak tinggi.
Dalam pada itu, SFC menyatakan komitmen untuk memperkasa penganjuran pada masa depan termasuk menambah baik laluan, memperkukuh mesej konservasi dan merancakkan penyertaan komuniti, sekolah, pengendali pelancongan serta rakan antarabangsa.
Keputusan penuh pemenang diumumkan pada majlis penutupan dan disediakan secara berasingan.
Oleh Shikin Mahmud