
KOTA SAMARAHAN: Festival Makanan dan Budaya Samarahan (SFCF) 2025, yang berlangsung selama sembilan hari, disifatkan sebagai cerminan jiwa masyarakat Samarahan yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta menjunjung perpaduan harmoni.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, kehadiran beliau bukan sekadar memenuhi undangan, sebaliknya sebagai sokongan penuh terhadap usaha Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) memperkukuh identiti kawasan itu sebagai bandar pendidikan, bandar kebudayaan dan kini bandar destinasi pelancongan komuniti.
“Festival ini menjadi bukti bahawa kejayaan sesuatu komuniti bukan hanya bergantung kepada bangunan yang dibina, tetapi kepada kesatuan hati rakyatnya.

“Penyertaan ribuan pengunjung dari pelbagai latar belakang, festival tersebut membuktikan bahawa Samarahan merupakan sebuah komuniti matang dan terbuka.
“Melalui festival inilah kita semakin mengenal siapa diri kita, semakin menghargai warisan yang kita kongsi, dan akhirnya jatuh cinta kepada identiti kita sebagai anak Samarahan yang hidup dalam kepelbagaian dan keharmonian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya ketika SFCF 2025 di Tapak Pasar Tamu MPKS Desa Ilmu, Kota Samarahan.
Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, SFCF bukan sekadar acara tahunan, tetapi medan interaksi budaya yang menyatukan lebih 30 etnik dan 80 dialek dalam suasana penuh harmoni.
“Festival itu turut menyaksikan remaja Melayu menarikan tarian Iban, kanak-kanak Cina mencuba permainan tradisi Melayu, dan masyarakat Bugis mempersembahkan seni warisan mereka dengan bangga, menggambarkan perpaduan tulen tanpa paksaan.


“Perkembangan pesat festival yang bermula pada 2017 dan mencatat lebih 200,000 pengunjung serta perolehan sekitar RM300,000 pada 2024 membuktikan acara tersebut semakin menjadi nadi penting ekonomi dan budaya komuniti.
“Pengurangan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 turut disokong melalui inisiatif festival seperti penggunaan pembayaran digital, peta QR dan pengurangan plastik sekali guna.
Jelasnya, apabila rakyat boleh mempraktikkan perubahan dalam suasana santai seperti itu, mesej pembangunan menjadi lebih mudah diterima dan difahami.
“Penganjuran SFCF turut menjadi platform penting kepada peniaga kecil dan pengusaha tempatan memperkenalkan produk mereka kepada pasaran lebih luas sambil membuka peluang kepada anak muda menunjukkan bakat dan kreativiti.
“Apabila rakyat terlibat secara aktif dan bangga dengan identiti mereka, pembangunan menjadi lebih seimbang dan berkekalan.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada MPKS sebagai penganjur utama serta semua rakan kolaborasi termasuk Unimas, agensi kerajaan, NGO, vendor dan penggiat seni budaya yang telah menjayakan festival berkenaan,” ujarnya.
Festival Makanan dan Budaya Samarahan 2025 berlangsung dari semalam hingga 29 November di Tapak Pasar Tamu MPKS Desa Ilmu melibatkan 46 tapak makanan dan minuman, 10 tapak kraf, 10 trak makanan, selain persembahan budaya setiap malam oleh peserta tempatan dan luar seperti dari Kelantan, Kedah, Melaka dan Indonesia.
Oleh Masrin Affirah