
PETRA JAYA: Bilangan menteri dalam Kabinet Sarawak dijangka bertambah susulan keperluan semasa pentadbiran negeri, namun penambahan itu hanya akan dilakukan selepas pindaan Perlembagaan Negeri Sarawak dibentangkan dan diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, penstrukturan semula Kabinet perlu dilakukan bagi membolehkan setiap portfolio ditangani dengan lebih fokus dan berkesan.
Beliau berkata, beban tugas menteri ketika ini semakin bertambah sehingga ada yang memegang dua atau tiga portfolio serentak, sekali gus memanjangkan urusan pentadbiran dan sesi penggulungan dasar.
“Bacaan pertama, kedua dan ketiga pindaan tersebut akan dilakukan pada 24 November ini, oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PBB di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.
Menurutnya, penambahan jumlah menteri tidak akan menjejaskan kedudukan timbalan menteri, kerana tiada had yang ditetapkan bagi jawatan tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa nama dan fungsi setiap kementerian kekal, manakala pengagihan portfolio sepenuhnya terletak di bawah pertimbangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Semua kementerian adalah kekal. Ketua atau ‘boss’ kementerian itu kita atur. Berapa jumlah menteri dan siapa memegang portfolio mana, itu kita serahkan kepada Premier,” katanya.
Mengulas pandangan pihak tertentu yang mungkin tidak bersetuju dengan penambahan menteri, beliau menegaskan bahawa keperluan itu perlu dilihat berdasarkan situasi semasa.
“Ada pandangan tidak setuju, tetapi teori undang-undang mesti tunduk kepada realiti politik. Realitinya, Sarawak perlukan Kabinet lebih besar kerana rakyat mempunyai jangkaan yang semakin tinggi,” ujarnya.
Katanya lagi, usaha membawa Sarawak muncul sebagai wilayah premier menjelang 2030, menjadi kuasa besar tenaga di ASEAN, serta mencapai sasaran ekonomi hijau dan pendapatan tinggi memerlukan barisan Kabinet yang lebih mantap dan berkapasiti.
“Destinasi kita ialah menjadikan Sarawak wilayah premier, pemain utama di ASEAN, malah di peringkat antarabangsa. Itu bukan sekadar destinasi tetapi takdir Sarawak. Maka komposisi Kabinet perlu dipertingkatkan,” tegasnya.
Beliau secara berseloroh menambah bahawa senarai penuh Kabinet baharu ‘mungkin sudah berada di dalam poket Premier’, namun enggan mengulas lanjut mengenai jumlah atau nama yang terlibat.
Dalam Kabinet Sarawak ketika ini, beberapa menteri memegang lebih daripada satu portfolio termasuk Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengetuai lebih daripada satu kementerian merangkumi kewangan, ekonomi baharu, sumber asli, pembangunan bandar, tenaga dan kelestarian alam sekitar, Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang turut memegang portfolio sebagai Menteri Perdagangan, Industri dan Pelaburan Antarabangsa serta Menteri Kedua bagi Sumber Asli dan Pembangunan Bandar; serta Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang memegang dua kementerian iaitu Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.
Oleh Shahrul Qaizat