
BINTANGOR: Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan dalam Operasi Bersepadu di simpang Jalan Bakong/Meradong selepas polis menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan dadah disyaki methamphetamine (syabu) dalam kenderaannya pada 9.20 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong yang menjalankan pemeriksaan di sekatan jalan raya tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki tersebut turut positif amphetamine dan methamphetamine melalui ujian saringan awal kencing yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Meradong.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek tiada mempunyai rekod jenayah atau dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama, dan jika disabitkan kesalahan, dikenakan denda tidak melebihi seratus ribu ringgit atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah di kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.
“Kami menggesa supaya masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di daerah Meradong.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” tegasnya.
Oleh Earl Anek