Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • MA63 bukan lagi retorik politik, era kerajaan MADANI pacu penyelesaian terbesar – Penganalisis
  • NASIONAL

MA63 bukan lagi retorik politik, era kerajaan MADANI pacu penyelesaian terbesar – Penganalisis

Utusan Sarawak 1 hour ago
PERJANJIAN Malaysia 1963 bukan lagi retorik politik – komitmen jelas kerajaan bantu pulihkan hak Sabah dan Sarawak.


KOTA KINABALU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak lagi dilihat sebagai retorik politik sejak era pentadbiran Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya kembali menjadi agenda perlembagaan yang diberi perhatian serius bagi memulihkan hak Sabah dan Sarawak.

Felo Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Bilcher Bala berkata MA63 pada masa lepas sering diperlihatkan sebagai isu politik semata-mata, namun landskap itu berubah selepas pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan serta komitmen lebih jelas kerajaan ketika ini dalam melunaskan tuntutan yang diperuntukkan melalui perjanjian berkenaan.

“Sebenarnya dalam konteks awalnya itu, tuntutan MA63 itu sudah lama berlaku. Jadi, bagi pihak kerajaan Persekutuan sebelum ini, mereka lebih melihat perkara ini bersifat sebagai retorik politik, terutama sekali sebelum bermulanya pindaan Perkara 1(2) dilakukan pada 2021 dan dikuatkuasakan awal 2022. Sejak itu, ia bukan retorik lagi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bilcher yang juga anggota Majlis Sejarawan Negara berkata pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan hubungan lebih rapat dan harmoni dengan Sabah dan Sarawak turut mempercepatkan proses penyelesaian pelbagai tuntutan, sekali gus membezakan era pentadbiran ini dengan pentadbiran terdahulu.

“Berbeza dengan pentadbiran Perdana Menteri sebelum ini, yang tidak mempunyai hubungan sangat rapat dengan kerajaan negeri berbanding pentadbiran Kerajaan MADANI ini. Jadi, sebab itulah ia memudahkan PMX,” katanya.

Bilcher berkata PM Anwar turut menunjukkan kesediaan politik yang lebih jelas dalam menunaikan tuntutan itu, sejajar dengan hak yang telah lama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“PMX lebih bertolak ansur berbanding Perdana Menteri sebelum ini, mereka macam boleh katakan kurang melayan,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata penyelesaian tuntutan MA63 juga penting bagi mengekang suara-suara kecil yang membawa sentimen pemisahan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia, termasuk parti pinggiran tertentu yang menggesa kemerdekaan.

Beliau menegaskan rakyat di kedua-dua negeri sedar tuntutan MA63 tidak pernah bertujuan membawa Sabah atau Sarawak keluar Malaysia, sebaliknya memastikan hak autonomi yang dipersetujui semasa pembentukan negara terus dihormati.

Bilcher yang menjalankan kajian MA63 sejak 2015 berkata lebih banyak tuntutan berjaya diselesaikan dalam era pentadbiran PM Anwar berbanding sebelum ini, menggambarkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mengembalikan hak Borneo secara berperingkat.

“Kalau kita tengok proses kelulusan, perbincangan tentang perkara-perkara tuntutan MA63 itu lebih banyak yang diluluskan kepada era beliau (PM Anwar) ini. Itu menandakan beliau lebih bertolak ansur, beliau boleh menerima hal itu,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Sabah Tony Paridi Bagang berkata desakan rakyat Sabah dan Sarawak yang semakin kuat terhadap MA63, ditambah kemahuan politik yang tinggi daripada kepimpinan Persekutuan, menjadikan era Kerajaan MADANI lebih produktif dalam menunaikan tuntutan berkenaan.

Beliau berkata perubahan politik negara selepas PRU14 juga mewujudkan kepimpinan yang lebih peka serta responsif terhadap isu-isu Borneo.

“Landskap politik negara telah banyak berubah apatah lagi selepas PRU14. Perubahan kerajaan pasca PRU14 menonjolkan perubahan kepimpinan yang perlu peka dan komited disusuli dengan tindakan.

“Dalam isu MA63, ia sentiasa menjadi modal politik serta menyemarakkan sentimen kenegerian yang kuat. Justeru, reaksi kepimpinan dan kerajaan Persekutuan semakin peka dan komited membolehkan sembilan tuntutan dalam MA63 dapat ditunaikan,” katanya.

Tony berkata kemahuan politik Kerajaan MADANI menjadi pemangkin penting, namun masih banyak ruang yang perlu diperkasakan.

“Kejayaan melaksanakan sembilan tuntutan MA63 pasti memberi impak positif dan sokongan moral ke arah tuntutan yang lebih besar. Komitmen dan tekad kerajaan Persekutuan harus berterusan agar rakyat Sabah dan Sarawak akan lebih yakin dan percaya dengan kepimpinan kerajaan semasa,” katanya.

Tony berkata kerjasama dua hala antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu terus diperkukuh bagi memastikan penyelesaian MA63 dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Jawatankuasa sedia ada perlu teruskan momentum untuk mencari kaedah terbaik bagaimana tuntutan-tuntutan yang lain dapat ditunaikan segera. Hubungan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri harus harmoni dan saling menghormati.

“Selain itu, pandangan mahupun kritikan konstruktif daripada pihak pembangkang dan masyarakat sivil perlu didengar agar isu MA63 dapat ditangani secara konklusif bukan sahaja untuk negeri dan rakyat Sabah dan Sarawak tetapi seluruh rakyat Malaysia,”katanya.

Pada 23 Oktober lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan 13 daripada 29 tuntutan MA63 dikategorikan sebagai selesai, iaitu sembilan di bawah pentadbiran PM Anwar dan empat di bawah pentadbiran Perdana Menteri terdahulu.- Bernama

Continue Reading

Previous: Pindaan akta tingkat keyakinan awam terhadap peguam Sabah, Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.