
SIBU: Kerajaan digesa mengambil tindakan segera bagi mengekang pencerobohan kapal nelayan asing yang didakwa semakin berleluasa di perairan Sarawak, sehingga menjejaskan pendapatan dan keselamatan nelayan tempatan.
Pengerusi Persatuan Kapal Nelayan Sarawak (SFVA), Harry Tan, berkata kegiatan itu, yang dipercayai didominasi nelayan Vietnam, telah menimbulkan kemarahan komuniti nelayan kerana pihak luar bebas mengaut hasil laut negara tanpa kawalan yang berkesan.
“Kapal dari Vietnam memonopoli kegiatan ini. Kami hairan bagaimana mereka boleh masuk, ambil hasil kita dan keluar begitu sahaja. Kami sebagai nelayan tempatan rasa amat tidak puas hati,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, semalam.
Menurutnya, hampir keseluruhan perairan Sarawak telah diceroboh, namun tindakan penguatkuasaan masih dilihat longgar.
“Bila ada operasi, mereka hilang. Ini menunjukkan mereka ada ‘orang dalam’ yang tahu pergerakan penguat kuasa. Sebab itu mereka hanya masuk ketika kawasan bebas daripada rondaan,” dakwanya.
Tan menegaskan, kelemahan kawal selia perairan serta prosedur pembaharuan lesen subsidi minyak menambah beban kepada nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut untuk menyara hidup.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila sesi dialog yang dijadualkan bersama Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) semalam (Khamis) gagal dilaksanakan sepenuhnya apabila pihak LKIM tidak hadir.
“Kami datang untuk berbincang isu subsidi minyak, tetapi LKIM tidak muncul. Hanya Jabatan Perikanan yang hadir,” katanya.
Tan menjelaskan, ramai nelayan sukar mematuhi tempoh pembaharuan lesen kerana mereka lazimnya berada di laut selama beberapa hari.
“Kalau nelayan sudah tiga hari di laut, mustahil mereka boleh balik semata-mata kerana tarikh ditetapkan. Balik pula kosong, rugi minyak, masa dan kos. Siapa mahu tanggung?,” tegasnya.
Beliau mencadangkan agar LKIM membenarkan nelayan memaklumkan tarikh kepulangan dua hari lebih awal bagi menetapkan janji temu yang lebih fleksibel.
Tan turut mempersoalkan kaedah pemeriksaan kapal ketika pembaharuan lesen yang didakwanya tidak menyeluruh.
“Kapal tak beroperasi pun lulus dengan mudah iaitu bersih, berkilat macam kapal baharu. Tapi kapal yang betul-betul turun laut, ada bau ikan, peti ais untuk menyimpan ikan yang basah itu pula susah lulus. Ini menimbulkan syak wujudnya kapal tidak aktif tetapi masih menikmati subsidi,” katanya.
Beliau turut mendedahkan mengenai seorang pemilik kapal di Sibu yang masih belum menerima pengaktifan semula subsidi minyak lebih sebulan selepas selesai membayar kompaun, walaupun penggantungan lesen telah tamat.
“Kenapa masa hendak nyahaktifkan cepat, tapi masa hendak aktifkan ambil sebulan lebih? Nelayan sudah tak turun dua tiga bulan, kini ditambah lagi. Beban ini siapa mahu tanggung?” tegasnya.
Dalam isu lain, Tan menolak ketetapan baharu LKIM yang melarang pendaftaran wakil bagi membeli minyak subsidi, sedangkan sebelum ini seorang taikong atau kapten boleh bertindak sebagai wakil pemilik kapal.
“Sekarang pemilik kapal mesti hadir sendiri. Jika mereka berada di luar kawasan atau di luar negara, operasi kapal terhenti. Ini sangat menyusahkan,” katanya.
Tan menegaskan bahawa pihaknya tidak berniat untuk mencetuskan konflik, sebaliknya mahu kerajaan menubuhkan mekanisme komunikasi tetap antara nelayan, LKIM dan Jabatan Perikanan.
“Kami mahu bantu kerajaan selesaikan masalah, bukan menambah beban. Tapi kalau pintu perbincangan pun ditutup, bagaimana isu mahu selesai?,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting