
MIRI: Penganjuran Borneo Star Drift Series (BSDS) sejak empat tahun lalu kini membuktikan Sarawak berada di landasan tepat untuk membina ekosistem sukan permotoran sendiri dan muncul sebagai hab perlumbaan di Borneo serta Asia Tenggara.
Presiden Persatuan Sukan Permotoran Sarawak, Dato’ Ahmad Ibrahim berkata perkembangan pesat penganjuran BSDS dari Miri ke Sibu dan Kuching, sebelum kembali semula ke Miri untuk pusingan akhir tahun ini, menunjukkan potensi besar sukan tersebut sebagai pemacu komuniti dan ekonomi setempat.
“Dahulu litar ini hanya lakaran di atas kertas. Hari ini, ia dikenali sebagai ‘The Sarawak Drift Capital, Litar Permyjaya’,” katanya pada sidang media BSDS 2025 Pusingan Akhir di Majlis Bandaraya Miri, semalam.
Menurut beliau, pusingan akhir yang berlangsung bermula semalam hingga esok menghimpunkan pelumba terbaik dari Jepun, Thailand, Brunei, Filipina dan seluruh Malaysia, sekali gus menjadikan Miri tumpuan peminat sukan permotoran sepanjang minggu ini.

Katanya, kehadiran peminat dari dalam dan luar negara turut melonjakkan tempahan hotel serta memeriahkan sektor pelancongan, hiburan dan aktiviti ekonomi di sekitar bandar.
Dato’ Ahmad menegaskan BSDS bukan acara bersifat sekali lalu, sebaliknya hasil usaha bertahun-tahun membangunkan ekosistem sukan permotoran negeri, termasuk latihan marshal, pengadil tempatan serta peningkatan kemahiran teknikal dan kejuruteraan automotif dalam kalangan belia.
“Kita lihat keluarga datang bersama anak-anak, pelajar menjadi sukarelawan, peniaga kecil menjual aksesori, trak makanan memenuhi kawasan. Inilah semangat komuniti di atas roda,” ujarnya.
Beliau berkata semangat itu melambangkan kekuatan sukan permotoran Sarawak, ‘Segulai Sejalai di atas Litar’.
Mengulas hala tuju masa depan, beliau berkata persatuan kini merangka asas bagi pembinaan Litar Perlumbaan Antarabangsa Sarawak, yang bakal menjadi fasiliti serba guna untuk drift, drag, time attack, autocross, cubprix dan go-kart.
Visi tersebut turut merangkumi kerjasama dengan institusi TVET dan kolej teknikal bagi memperkenalkan program latihan Teknologi Sukan Permotoran, yang membuka peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan mekanikal, produksi media dan pengurusan acara.
“Pasukan kita bersedia, bakat kita bertaraf dunia. Yang diperlukan kini hanyalah lebih banyak sokongan korporat dan kerajaan untuk menjadikan impian ini kenyataan,” katanya.