
KUCHING: Educare Wonderland di Tropics City disifatkan sebagai platform pembelajaran awal yang kreatif, menyeronokkan dan memberi pengalaman berharga kepada kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendekatan pembelajaran tidak formal yang diketengahkan oleh penganjur mampu merangsang minat, kreativiti dan keyakinan diri kanak-kanak melalui pengalaman secara langsung.
“Saya melihat kanak-kanak bebas bergerak, memilih apa yang mereka ingin belajar dan berhenti di mana-mana yang menarik minat mereka. Ini bentuk pembelajaran yang memberi kesan lebih mendalam berbanding suasana formal dalam bilik darjah,” katanya pada majlis perasmian Educare Wonderland di Tropics City, hari ini.
Menurutnya, kaedah ‘belajar melalui pengalaman’ amat penting bagi membentuk nilai, sahsiah dan karakter anak-anak sejak kecil, sekali gus menyokong usaha kerajaan memperkukuh pendidikan awal di Sarawak.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan Educare Wonderland yang berfikir secara kreatif dalam menyediakan persekitaran pendidikan yang interaktif, termasuk pendedahan kepada kemahiran komunikasi dan keyakinan diri melalui aktiviti persembahan.

DATO Sri Fatimah Abdullah merakam kenangan bersama para penaja semasa Majlis Perasmian Educare Wonderland di Tropics City.
“Apabila kita memupuk keberanian dan kemahiran bercakap sejak kecil, kita sebenarnya membentuk generasi yang mampu mengemukakan idea, berfikir secara kreatif dan berkomunikasi dengan yakin,” ujarnya.
Majlis perasmian turut menyaksikan penyertaan murid-murid dari beberapa sekolah vernakular yang mempersembahkan bakat masing-masing dalam bidang tarian dan nyanyian, menggambarkan kepelbagaian minat serta potensi yang boleh digilap sejak awal.
Dato Sri Fatimah menyifatkan inisiatif sedemikian sebagai langkah yang selaras dengan falsafah pembelajaran awal kanak-kanak iaitu pembelajaran yang menyeronokkan, kondusif dan berasaskan pengalaman.
“Pembelajaran yang menyeronokkan membuatkan anak-anak tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang belajar. Inilah kaedah terbaik dalam pendidikan awal,” katanya lagi.
Beliau turut menghargai kreativiti penganjur dan komitmen semua pihak dalam memastikan kanak-kanak mendapat pendedahan berkualiti yang mampu membentuk potensi mereka ke tahap optimum.
Majlis tersebut turut dihadiri wakil sekolah, pertubuhan komuniti, rakan media serta para ibu bapa.
Oleh Shikin Mahmud