
KOTA PADAWAN: Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi alat penting dalam penguatkuasaan polis bantuan, mampu meningkatkan keberkesanan rondaan, memantau aktiviti mencurigakan dan membantu anggota menjalankan tugas dengan lebih cekap dan tepat.
“Penggunaan sistem kecerdasan buatan atau AI mampu meningkatkan keberkesanan rondaan, memantau aktiviti mencurigakan dan membantu anggota polis bantuan menjalankan tugas dengan lebih cekap dan tepat,” kata Timbalan Pengarah Kepolisan Am / Kepolisan Komuniti JPJKK Bukit Aman, DCP Dato Aida Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Penyempurnaan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7/2025, Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL), di sini, hari ini.
Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7/2025 yang bermula pada 21 September lalu, menampilkan penyertaan 267 pelatih terdiri daripada 255 lelaki dan 12 wanita mewakili 22 agensi, berjaya disempurnakan pada majlis perbarisan tamat latihan di Dataran Kawad, PULAPOL.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kepolisan Am / Kepolisan Komuniti JPJKK Bukit Aman, DCP Dato Aida Abdul Hamid.
“Polis bantuan membolehkan pengawal keselamatan sektor kerajaan, badan berkanun, swasta atau korporat mempunyai kuasa polis dan membawa senjata api semasa melaksanakan tugasan di kawasan yang diwartakan.
“Tugasan mereka termasuk rondaan, kawalan statik, pengawalan orang ramai, pemeriksaan kenderaan dan perlindungan harta,” katanya.
DCP Dato Aida memberi amanat kepada pelatih agar menanam nilai disiplin, integriti,
profesionalisme dan amanah, serta sentiasa bersedia menjaga keselamatan organisasi dan masyarakat.
“Selamat bertugas dan selamat maju jaya. Jagalah nama baik agensi dan Polis Diraja Malaysia. Semoga setiap daripada anda menjadi pegawai dan anggota polis bantuan yang membanggakan,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada pelatih dan jurulatih atas dedikasi serta kesabaran sepanjang latihan.
Turut hadir pada majlis perbarisan tamat latihan itu ialah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPK Sarawak, SAC Dr Parusuraman Subramanian, serta Komandan PULAPOL Kuching, SAC Zulfikar Jeneral Tan Sri Mohd Ghazali.
Oleh Adele Rissa