
KEHIDUPAN manusia di dunia hanyalah satu persinggahan sementara sebelum menuju sebuah destinasi yang abadi iaitu akhirat.
Dunia yang kita huni ini menyediakan pelbagai nikmat, peluang, ujian dan dugaan, namun semuanya bersifat sementara dan tidak kekal.
Islam menegaskan bahawa hakikat kehidupan bukan sekadar untuk mengejar kesenangan duniawi, tetapi untuk mempersiapkan diri menghadapi alam akhirat yang kekal tanpa penghujung.
Kesedaran ini menjadi asas kepada pembentukan jiwa seorang mukmin yang benar-benar memahami tujuan hidupnya.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 64: “Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenar, jika mereka mengetahui.”
Ayat ini menjelaskan bahawa keseronokan dunia hanyalah sebentar, seumpama permainan yang akhirnya akan ditinggalkan.
Segala nikmat dunia tidak mampu memberi makna hakiki tanpa hubungan dengan Allah SWT dan persiapan untuk kehidupan abadi di akhirat.
Rasulullah SAW juga mengingatkan kita dalam hadis sahih riwayat Muslim: “Jadilah kamu di dunia seolah-olah seorang musafir atau orang yang singgah sebentar di bawah naungan pokok.”
Hadis ini menggambarkan dunia sebagai tempat singgah, bukan tempat tinggal kekal.
Seorang musafir tidak membina kehidupan sepenuhnya di tempat persinggahan kerana dia tahu perjalanan sebenar masih panjang.
Begitu juga seorang mukmin; dia menikmati nikmat dunia dalam batas yang dibenarkan tetapi tidak menjadikannya tujuan utama.
DUNIA: UJIAN SEMENTARA YANG MENENTUKAN NASIB
Dunia bukan tempat balasan, tetapi tempat ujian. Setiap manusia diuji dengan kesenangan, kesusahan, kekayaan, kemiskinan, kesihatan, penyakit dan pelbagai cabaran kehidupan.
Ujian itu bukan untuk melemahkan manusia, tetapi menguatkan iman dan menzahirkan ketaatan sebenar kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Mulk ayat 2:
“Dialah yang telah menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”
Jelas bahawa tujuan utama hidup adalah untuk melakukan amal terbaik.
Dunia bukan sekadar tempat bekerja, bersosial, membina kerjaya atau mengumpul harta, tetapi ruang untuk beramal, beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Dunia juga sering memperdayakan manusia dengan kemewahan dan godaan yang menutupi hakikat sebenar kehidupan.
Allah memberi peringatan dalam surah Ali ‘Imran ayat 185: “Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”
Ramai manusia terperangkap dengan kesibukan dunia sehingga melupakan tujuan akhir.
Mereka mengejar harta, pangkat, kecantikan, pujian manusia atau kebahagiaan sementara tanpa memikirkan kehidupan selepas mati.
Namun, kesenangan itu akan hilang, dan yang akan kekal hanyalah amal.
Begitu juga hadis riwayat Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.”
Hadis ini bukan bermaksud mukmin tidak boleh menikmati dunia, tetapi bermaksud kehidupan seorang mukmin dikawal oleh syariat.
Dia menjaga halal haram dan tidak menurut nafsu semata-mata, berbeza dengan orang yang tidak beriman yang bebas mengikuti hawa nafsu tanpa batas.
Kesedaran bahawa dunia adalah sementara menjadikan seorang mukmin lebih berhati-hati dalam setiap perbuatannya.
Dia menjaga lidah, tingkah laku, hubungan sesama manusia, serta memperbanyakkan amal kebaikan.
Dia tahu bahawa setiap tindakan, sekecil apa pun, diperhitungkan oleh Allah SWT.
Bagi orang beriman, akhirat menjanjikan kebahagiaan yang tidak dapat digambarkan oleh akal manusia.
Syurga dipenuhi nikmat yang tiada bandingannya, seperti yang disebut dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim: “Allah SWT menyediakan untuk hamba-Nya yang soleh nikmat yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia.”

Hijrah Abu Ubaidah Al-Jarrah
ABU Ubaidah Al-Jarrah merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW yang mendapat berita gembira tentang jaminan masuk syurga.
Nama sebenar beliau ialah Amir bin Abdullah bin Al-Jarrah.
Beliau lebih masyhur dipanggil dengan gelaran Abu Ubaidah berbanding dengan nama asalnya.
Malah beliau merupakan antara individu yang terawal memeluk agama Islam.
Beliau memeluk Islam pada tahun dimana Rasulullah SAW telah dilantik menjadi Rasul.
Sejak beliau memeluk Islam, beliau telah meninggalkan semua bentuk kehidupan jahiliyah.
Malah sebagai seorang pemuda yang cerdas, cahaya keimanan mudah menyerap masuk ke dalam hatinya.
Sejak itu, beliau mempertaruhkan dirinya untuk membantu Rasulullah SAW dalam usaha mengembangkan agama Islam.
Usaha dakwah yang dijalankan secara terang-terangan, semakin hari semakin ramai orang-orang Mekkah yang mula memeluk Islam.
Pertambahan pengikut Rasulullah SAW dari sehari ke sehari telah menyebabkan pemimpin Quraisy menjadi sangat marah.
Orang yang memeluk Islam semakin berani mengerjakan solat di depan Kaabah.
Mereka juga berani membaca Al-Quran dengan suara yang lantang di hadapan orang Quraisy.
Malah kemarahan mereka semakin memuncak apabila hamba-hamba mereka sendiri berani menghina berhala-berhala sembahan mereka.
Oleh kerana itu, para pemimpin Quraisy mengambil keputusan untuk menyeksa orang yang memeluk agama Islam terutama di kalangan orang miskin dan hamba.
Mereka berpendapat bahawa dengan melakukan seksaan dan ancaman dapat menghentikan usaha Rasulullah SAW mengembangkan ajaran Islam.
Melihat kepada tekanan dan seksaan yang dialami kaum muslimin, Rasulullah SAW menyarankan agar orang Islam berhijrah ke Habsyah.
Akan tetapi, Abu Ubaidah tidak menyertai dalam hijrah yang pertama, tetapi beliau termasuk di kalangan sahabat yang berhijrah ke Habsyah buat kali kedua.
Namun begitu, disebabkan rasa cinta dan rindu yang mendalam buat Rasuulullah SAW, Abu Ubaidah pulang ke Mekkah kerana tidak sanggup membiarkan Rasulullah SAW bersendirian menghadapi ancaman dari kaum Quraisy.
Oleh Hanzalan