
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pelaksanaan sistem permohonan digital sepenuhnya bagi Dana Amanah Sarawak (EFS) dengan memperkenalkan penggunaan sistem tersebut bermula 1 Januari 2026.
Selain itu, kerajaan turut mengekalkan bantuan RM450 untuk ibu bersalin bagi memastikan semua anak Sarawak terus menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, sistem baharu dibangunkan oleh Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) dan boleh diakses melalui portal rasmi sarawak.gov.my, serta diintegrasikan dengan Sarawak Pass.
“Dengan sistem baharu ini, pemohon tidak lagi perlu hadir ke bank, pejabat KPWK atau Jabatan Pendaftaran. Semua urusan boleh diselesaikan secara dalam talian,” katanya pada sidang media mengenai inisiatif EFS di Baitulmakmur II, hari ini.
Menurut beliau, tempoh pemprosesan EFS akan dipendekkan daripada tiga hingga enam bulan kepada sebulan, manakala kelulusan BIB yang sebelum ini mengambil dua hingga tiga bulan kini boleh diselesaikan dalam tempoh seminggu sahaja.

“Sistem ini akan menjadikan proses lebih mudah, pantas dan telus. Kami berharap kadar penyertaan akan meningkat melebihi 85 peratus,” tambahnya.
Fatimah berkata sistem digital ini juga memudahkan rakyat Sarawak yang menetap di luar negeri kerana pengesahan boleh dilakukan secara automatik melalui status K dan data perbankan.
Bagi kawasan luar bandar, sebahagian lokasi telah mendapat capaian internet termasuk melalui penggunaan Starlink, membolehkan permohonan dilakukan sepenuhnya dalam talian.
Bantuan BIB berjumlah RM450 tetap diperuntukkan kepada ibu bersalin atau bapa dengan status K bagi tujuan pemulihan selepas bersalin dan keperluan bayi baru lahir.
“Dengan langkah ini, kerajaan berharap lebih ramai anak Sarawak mendapat manfaat daripada inisiatif ini, seterusnya menyokong pendidikan dan persediaan mereka untuk masa depan,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud