
KUCHING: Sarawak Energy memperkukuh sokongan terhadap vendor tempatan menerusi jalinan kerjasama baharu dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan United Overseas Bank (UOB) Malaysia bagi memperluas akses kepada kemudahan pembiayaan.
Kerjasama itu dimeterai melalui dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang membuka peluang kepada vendor untuk mendapatkan pembiayaan modal kerja, perolehan peralatan serta pengembangan perniagaan.

Langkah tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan vendor selain memastikan kelancaran pelaksanaan projek dalam rantaian bekalan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata pembangunan vendor mampan memerlukan kerjasama strategik yang membolehkan perniagaan tempatan berkembang seiring pertumbuhan syarikat.

“Bekerjasama dengan institusi kewangan dan agensi pembangunan seperti PUNB dan UOB membantu vendor tempatan membina keupayaan, mendapatkan akses pembiayaan dan meningkatkan prestasi penyampaian.
Ini mencerminkan komitmen kami terhadap Matlamat Pembangunan Mampan 17: Perkongsian untuk Matlamat, selain memperkasa rantaian bekalan yang inklusif dan berdaya tahan demi pembangunan Sarawak,” katanya.
Melalui Program Pembangunan Vendor (VDP), Sarawak Energy terus memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kemahiran teknikal dan menyediakan laluan libat urus yang jelas kepada vendor.
Usaha ini disokong oleh Program Pembiayaan Vendor yang memberi akses kepada bantuan kewangan melalui kerjasama dengan institusi perbankan.

Komitmen berterusan itu telah menyumbang kepada peningkatan penyertaan vendor tempatan, yang melonjak lebih 70 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Majoriti kontrak turut diberikan kepada syarikat berpengkalan di Sarawak, sejajar dengan usaha syarikat memperkasa pembekal tempatan serta menyokong pertumbuhan inklusif komuniti perniagaan negeri.
Sejak beberapa tahun lalu, Sarawak Energy turut menjalinkan kerjasama serupa dengan beberapa institusi kewangan antaranya Bank Islam, RHB Bank, SME Bank dan Ikhtiar Factoring.
Penyertaan PUNB dan UOB kali ini mengembangkan lagi pilihan pembiayaan kepada vendor tempatan sekali gus mengukuhkan ekosistem rantaian bekalan.
Majlis menandatangani MoU berkenaan diadakan di Menara Sarawak Energy pada 12 November. Sarawak Energy diwakili Sharbini, disaksikan Naib Presiden Kanan Bahagian Undang-Undang dan Pematuhan, George Chapman.
PUNB pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin dan disaksikan Pengurus Besar Bahagian Perniagaan, Razlan Bachik. UOB Malaysia diwakili Ketua Perbankan Transaksi Negara, Lucas Chew dan disaksikan Ketua Perbankan Borong Negara, Andy Cheah.