MIRI : Seramai 33 petani dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin menerima bantuan input projek pertanian melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM507,000.
Bantuan itu melibatkan empat kategori iaitu kategori sayur dalam jejaring, kategori sayur terbuka, kategori buah-buahan tidak bermusim dan kategori buah-buahan bermusim.
Bagi setiap kategori tersebut, penerima masing-masing menerima bantuan baja, alatan pertanian, racun dan bahan tanaman.
Majlis penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin merangkap Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin di Pusat Latihan Petani (ILP) di sini, semalam.
Lee berkata, bantuan itu merupakan peruntukan khas daripada Kerajaan Sarawak untuk membantu petani dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat.
“Saya berharap dengan bantuan ini, para petani boleh meningkatkan produktiviti mereka,”katanya kepada media pada majlis penyerahan bantuan berkenaan.
Selain itu, Lee berkata Kerajaan Negeri amat menggalakkan petani menggunakan kaedah pertanian moden.
“Pihak Jabatan Pertanian sedia untuk memberi bimbangan dan latihan kepada mereka yang berminat dalam pertanian moden,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Jabatan Pertanian Daerah Miri, Alex Ding.
Oleh Liong Chai Ling