
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Sekuau (JPKS) mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof di Parlimen, di sini, semalam.
Deligasi tersebut diketuai oleh Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) bagi kawasan Sekuau dan Ulu Oya, Kaunselor Henry Kanyan Vincent Rawing dan disertai oleh Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta serta beberapa tuai rumah dari kawasan Sekuau.
Menurut Henry, kunjungan tersebut bagi membincangkan perkembangan pelaksanaan projek-projek rakyat yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri semasa lawatan beliau ke Sekuau pada 17 Mei lalu.
“Antara projek utama yang dibincangkan termasuk pembinaan sebuah dewan baharu bernilai RM1.3 juta, kerja-kerja pendawaian semula rumah panjang lama yang belum pernah dinaik taraf, serta bantuan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM20,000 kepada setiap rumah panjang berdaftar serta mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sah,” jelasnya.

Katanya, isu paling penting yang dibawa kepada Timbalan Perdana Menteri adalah berhubung status tanah Skim Penempatan Semula Sekuau yang merupakan tanah milik Kerajaan Persekutuan.
“Selagi status tanah ini tidak diputuskan sama ada diserahkan kepada kerajaan Sarawak atau kekal di bawah Kerajaan Persekutuan, ia akan memberi kesan terhadap pelaksanaan mana-mana pembangunan di kawasan Sekuau.
“Tanah berkenaan merupakan kawasan skim penempatan semula (RASCOM) dan kini memerlukan penyelarasan semula bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Selain isu tanah, katanya, pihaknya turut membangkitkan beberapa projek lain termasuk pembinaan Balai Polis Stapang, cadangan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di persimpangan Sekuau, serta potensi pembangunan industri pertanian yang dapat memberi manfaat kepada penduduk Sekuau, Ulu Oya dan Pakoh.
“Hasil perbincangan kami sangat positif dengan Timbalan Perdana Menteri mengarahkan beberapa agensi berkaitan untuk bekerjasama rapat dengan JPKS serta wakil rakyat kawasan Selangau dan Tamin bagi memantau dan mempercepatkan pelaksanaan projek yang telah diumumkan.
“Ini adalah pertemuan kali ketiga kami dengan Timbalan Perdana Menteri berhubung pembangunan Sekuau. Harapan kami, semua pengumuman dapat dilaksanakan mengikut jadual,” kata beliau.