
BINTULU: Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu selepas disyaki beroperasi tanpa nakhoda sah di kedudukan 1.5 batu nautika barat laut muara Sungai Kemena, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang ketika itu menjalankan rondaan Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 3.0.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh dua kru warga tempatan, masing-masing berusia 22 tahun dan 50 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 477(2), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal melaporkan kepada pegawai pelabuhan mengenai pertukaran nakhoda.
“Jika disabitkan, pemilik atau pengendali bot boleh dikenakan denda atau kompaun,” jelasnya.
Bot bersama kru tersebut telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Muhammad Suffian mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang serta mengamalkan prosedur keselamatan ketika berada di laut bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.
“Sebarang maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan ke talian kecemasan 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314254) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk tindakan segera,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih