Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • PM Anwar diberi sambutan rasmi di Istana Negara Ethiopia
  • SEMASA

PM Anwar diberi sambutan rasmi di Istana Negara Ethiopia

Utusan Sarawak 4 hours ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berada di ibu negara Ethiopia, melawat muzium tugu kebangsaan negara itu, Adwa Victory Memorial Museum, pada hari kedua lawatan rasminya. Beliau disambut mesra oleh Menteri Luar Ethiopia, Dr Gedion Timothewos, dan Datuk Bandar Addis Ababa, Adanech Abiebie. Foto: Bernama

ADDIS ABABA, Ethiopia: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi di Istana Negara juga dikenali Istana Jubli, yang merupakan sebuah bangunan bersejarah di pusat bandar Addis Ababa.

Ketibaan beliau disambut rakan sejawatnya Dr Abiy Ahmed Ali, sebelum kedua-dua pemimpin bergerak ke pentas khas iaitu sebuah platform tinggi yang digunakan semasa upacara rasmi.

Ketika berdiri di pentas berkenaan, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum Anwar memeriksa kawalan kehormatan.

Sejurus kembali ke pentas khas, kedua-dua pemimpin menyaksikan lintas hormat barisan kawalan kehormatan serta pasukan pancaragam.

Selepas itu, kedua-dua pemimpin bergerak ke tapak yang disediakan bagi Upacara Menanam Pohon Persahabatan, menyaksikan mereka masing-masing menanam pokok kelapa sawit disediakan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Sementara itu, di Muzium Kereta yang terletak berhampiran Istana Negara, Anwar diperlihatkan koleksi kenderaan milik Maharaja Haile Selassie termasuk dua gerabak lokomotif yang dihadiahkan kepada baginda.

Haile Selassie merupakan Maharaja Ethiopia dari 1930 hingga 1974.

Perdana Menteri turut diperlihatkan memorabilia dan koleksi peribadi Maharaja Haile Selassie.

Susulan upacara di Istana Negara, Anwar dan Abiy Ahmed telah mengadakan pertemuan empat mata.

Anwar dan Abiy Ahmed juga akan mengadakan sidang media bersama dan acara lawatan hari ini  berakhir dengan majlis makan malam rasmi anjuran Perdana Menteri Ethiopia.

Lawatan tiga hari Anwar ke negara yang mendapat julukan Tanduk Afrika itu adalah yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia dan juga lawatan balas susulan kunjungan rasmi Abiy ke negara ini pada Oktober tahun lepas.

Lawatan itu meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang telah terjalin sejak Januari 1965.

Sementara itu, Anwar berkata menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Negara Ethiopia termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan, benar-benar mencerminkan penghormatan mendalam dan persahabatan erat antara kedua-dua negara.

“Pengalaman ini amat bermakna, namun yang lebih mengesankan ialah komitmen serta iltizam kepimpinan Ethiopia hari ini dalam memelihara dan memanfaatkan tinggalan sejarah itu, agar terus disaksikan, difahami dan dikaji oleh anak-anak muda, supaya warisan besar bangsa ini terus hidup, segar dan memberi erti,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar.- Bernama

Continue Reading

Previous: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi terima kunjungan hormat ADUN Lingga

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.