
KUCHING: Ketua Polis Daerah Samarahan, Supt Damataries Lautin mengesahkan berlakunya kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di KM17 Jalan Kota Samarahan–Asajaya petang tadi.
Beliau berkata, kemalangan yang berlaku sekitar jam 5.06 petang itu meragut nyawa seorang penunggang motosikal berusia 26 tahun. Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak.
Siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal Yamaha dan sebuah Perodua Aruz yang sedang dalam perjalanan dari arah Asajaya menuju ke Kampung Moyan Lidang.
Ketika pemandu kereta berkenaan membelok ke kanan untuk memasuki simpang, motosikal mangsa yang dipercayai sedang memotong telah merempuh kereta tersebut berhampiran pintu masuk kampung berkenaan.
“Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta, seorang guru berusia 51 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, laluan di lokasi kejadian merupakan jalan dua hala dua lorong dengan garisan berkembar, manakala cuaca ketika kejadian adalah baik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.
Kedua-dua kenderaan yang terlibat telah dibawa ke Balai Trafik Polis Kota Samarahan untuk pemeriksaan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak.
Siasatan lanjut masih dijalankan.
Oleh Connie Chieng