Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Intervensi kerajaan bantu generasi sandwic dalam perancangan keluarga – Nancy
  • NASIONAL

Intervensi kerajaan bantu generasi sandwic dalam perancangan keluarga – Nancy

Utusan Sarawak 2 hours ago
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mengumumkan bahawa kerajaan buat pertama kali melaksanakan intervensi khusus untuk membantu generasi ‘sandwich’ membuat keputusan lebih baik dalam perancangan keluarga, pada sidang media selepas Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2025 (PERKKS25) di sini hari ini. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Kerajaan akan melaksanakan intervensi khusus bagi membantu generasi sandwic membuat keputusan lebih baik berkaitan perancangan keluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia susulan semakin ramai golongan muda menangguhkan atau memilih untuk tidak mempunyai anak.

“Buat pertama kali, kami melaksanakan intervensi khusus untuk generasi ini. Mereka mempunyai perancangan sendiri termasuk keputusan untuk menangguhkan atau tidak mempunyai anak.

“Walaupun kerajaan tidak boleh memaksa, kita bertanggungjawab memberi kesedaran supaya mereka mempertimbangkan semula keputusan berkenaan,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2025 (PERKKS25) di sini hari ini. 

Generasi sandwic merujuk golongan individu dewasa yang berada di tengah-tengah dua tanggungjawab, iaitu menjaga ibu bapa berusia dan dalam masa sama menanggung anak-anak yang memerlukan sokongan kewangan dan perhatian.

Beliau berkata tekanan ekonomi, kos sara hidup serta tanggungjawab menjaga ibu bapa menjadikan generasi sandwic antara kumpulan yang paling terkesan dengan perubahan struktur demografi negara, yang turut menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan jumlah (TFR).

“Mereka berdepan cabaran ekonomi dan tanggungjawab menjaga ibu bapa, namun mungkin mengubah fikiran mereka pada masa depan. Oleh itu, kerajaan memberi sokongan dari segi polisi dan maklumat, bukan bantuan kewangan terus. Matlamatnya adalah membantu mereka membuat keputusan lebih baik,” katanya. 

Mengulas penurunan TFR, Nancy berkata kerajaan sedang memperkukuh pelaksanaan program di bawah Pelan Kesuburan Negara bagi membantu pasangan yang memerlukan sokongan kesuburan.

“Penurunan itu memang menjadi satu kebimbangan. Kita sedang melakukan yang terbaik untuk melaksanakan intervensi, supaya dapat membantu mereka yang memerlukan dan seterusnya membantu meningkatkan TFR negara,” katanya. 

Antara usaha tersebut ialah Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BUAI) yang memberi kesedaran mengenai isu kesuburan lelaki, yang sehingga kini telah mendaftarkan 1,300 peserta dengan kadar kejayaan 12 peratus, selain program persenyawaan in vitro (IVF), prosedur permanian beradas (IUI) serta inisiatif untuk pasangan berkahwin seperti Smart Start.

Nancy berkata kerajaan turut memperluas pendidikan kesihatan reproduktif melalui program KafeTEEN bagi pelajar dan remaja, merangkumi tanggungjawab seksual, pencegahan kehamilan remaja serta pemahaman mengenai kesuburan.

Berkaitan isu negara menua, Nancy berkata kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi penjagaan bagi memenuhi keperluan warga emas yang semakin meningkat.

“Dari segi angka, memang jelas Malaysia menuju ke arah negara menua. Sebab itu, kita memberi tumpuan kepada ekonomi penjagaan, antara pendekatan untuk menghadapi cabaran ini,” katanya. 

Antara inisiatif dilaksanakan ialah program untuk memastikan warga emas kekal produktif melalui pusat aktiviti warga emas (PAWE), selain kerja-kerja memuktamadkan Pelan Tindakan Warga Emas yang dilancarkan baru-baru ini. 

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 160 projek penyelidikan berkaitan isu penuaan telah dilaksanakan, dengan geran antara RM10,000 hingga RM50,000 bergantung kepada keperluan projek.

Nancy berkata kerajaan akan terus menyediakan sokongan dasar dan intervensi bagi memastikan isu kesuburan, penuaan penduduk serta tekanan ke atas generasi sandwic dapat ditangani secara holistik.- Bernama

Continue Reading

Previous: SPR keluar 22,881 kertas undi pos bagi PRN Sabah ke-17

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.