Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati terhadap bapa hentak bayi OKU
  • TEMPATAN

Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati terhadap bapa hentak bayi OKU

Utusan Sarawak 5 hours ago

KUCHING: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang bapa yang didapati bersalah membunuh bayi lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia dua bulan dengan menghentak tubuh mangsa.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azimah Omar, sebulat suara memutuskan tiada kesilapan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam menilai keseluruhan bukti perbicaraan.

Hakim Azizah berkata keterangan saksi utama termasuk isteri perayu serta bukti perubatan oleh pakar patologi adalah konsisten dan menyokong dapatan bahawa Vincent Marcos, 39, menyebabkan kecederaan maut terhadap mangsa.

Menurut fakta kes, kejadian berlaku pada 28 April 2016 dan Vincent menggenggam kaki bayi tersebut sebelum mengangkat dan menghentakkan tubuh mangsa ke permukaan sofa selepas menuduh isterinya curang.

Mangsa tidak bergerak selepas hentakan itu, namun perayu gagal mendapatkan rawatan segera walaupun diminta oleh isterinya, dengan bayi tersebut hanya dibawa ke hospital keesokan pagi dalam keadaan sudah meninggal dunia dan terdapat kesan gigitan semut.

Hasil bedah siasat yang dikemukakan di mahkamah memaklumkan bayi itu mengalami kecederaan kepala teruk termasuk pendarahan subdural, edema otak serta kontusi yang konsisten dengan hentakan kuat pada permukaan tumpul.

Pemeriksaan turut menemui beberapa kecederaan lama pada tulang rusuk, klavikel dan femur, yang menurut pakar berlaku dalam tempoh beberapa minggu sebelum kematian dan selari dengan penderaan berulang.

Mahkamah Tinggi Bintulu pada 2 Ogos 2018 mensabitkan Vincent atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Mahkamah Rayuan pada 26 April 2022, mengekalkan keputusan tersebut.

Mahkamah Rayuan memaklumkan tindakan perayu menghentak bayi berusia dua bulan dengan kekerasan merupakan perbuatan yang dalam kebiasaan menyebabkan kecederaan serius atau kematian, sekali gus memenuhi elemen niat atau pengetahuan di bawah seksyen berkenaan.

Pada prosiding hari ini, peguam lantikan mahkamah Louis Jarau yang mewakili perayu, memberitahu pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi pengecualian hukuman mati sejajar Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz berhujah bahawa berdasarkan fakta dan keseluruhan keadaan kes, hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah paling wajar.

Beliau turut menegaskan bahawa perayu tidak menunjukkan rasa belas kasihan terhadap seorang bayi yang tidak berdaya.- Bernama

Continue Reading

Previous: OSTPC Sarawak catat penurunan kes kehamilan remaja 10.6 peratus
Next: Sarawak bersedia lahirkan tenaga mahir, berpendapatan tinggi menjelang 2030 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.