Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Singapura catat rekod terbesar rampasan tanduk badak sumbu
  • GLOBAL

Singapura catat rekod terbesar rampasan tanduk badak sumbu

Utusan Sarawak 5 hours ago
Badak sumbu dilindungi di bawah konvensyen perlindungan hidupan liar global, dan perdagangan antarabangsa tanduknya adalah dilarang. Foto AFP

SINGAPURA: Singapura merampas lebih AS$800,000 (RM3.3 juta) nilai tanduk badak sumbu dan bahagian haiwan lain yang diseludup dan disorok dalam kargo udara menuju Laos, menurut pihak berkuasa semalam, rampasan terbesar seumpamanya di republik itu.

Disamarkan sebagai ‘kelengkapan perabot’, bungkusan itu dikesan 10 hari lalu selepas seorang pengendali kargo ‘menghidu bau kuat’ dari sebuah pakej, menurut kenyataan bersama Lembaga Taman Negara Singapura dan pengendali kargo udara SATS.

Pihak berkuasa Singapura kemudian dimaklumkan dan menemui ’20 batang tanduk badak sumbu seberat 35.7 kilogram, bersama kira-kira 150 kilogram bahagian haiwan lain”, kata kenyataan itu.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sekitar AS$870,000 (RM3.5 juta)

“Ini merupakan rampasan tanduk badak sumbu terbesar yang pernah dicatatkan di Singapura,” tambah kenyataan tersebut.

Kesemua 20 tanduk berkenaan dikenal pasti milik badak sumbu putih Afrika Selatan. Pihak berkuasa sedang menyiasat asal-usul bahagian haiwan lain.

Badak sumbu dilindungi di bawah konvensyen perlindungan hidupan liar global CITES, dan perdagangan antarabangsa tanduknya adalah dilarang.

Tanduk-tanduk itu akan dimusnahkan mengikut garis panduan CITES, kata pihak berkuasa Singapura.

Tanduk badak sumbu dianggap sebagai simbol status dan dipercayai mempunyai khasiat perubatan di beberapa bahagian Asia.

Ia juga dijadikan barang kemas dan barangan rumah seperti sikat, butang dan kepala tali pinggang.

Rampasan terbesar sebelumnya di Singapura berlaku pada Oktober 2022, apabila 34.7 kg tanduk badak sumbu ditemui dalam beg seorang lelaki Afrika Selatan di Lapangan Terbang Changi.

Pengirim itu dijatuhi hukuman dua tahun penjara pada Januari tahun lalu.

Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) yang berpangkalan di Switzerland berkata pada 2022 bahawa pemburuan haram dan perdagangan tanduk haram telah berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi masih menjadi ancaman besar kepada badak sumbu.

Lebih 2,700 badak sumbu dibunuh pemburu antara 2018 dan 2021 di Afrika, 90 peratus daripadanya di Afrika Selatan, terutamanya di Taman Negara Kruger.

Menjadi habitat hampir 80 peratus populasi badak sumbu dunia, Afrika Selatan kekal sebagai hotspot pemburuan haram, dipacu oleh permintaan dari Asia. – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Seorang hilang dalam kebakaran musnahkan 170 bangunan di bandar Oita, Jepun
Next: Tandas emas karya seniman Itali dijual pada harga AS$12 juta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.