
PETRA JAYA: Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) Sarawak mencatat penurunan 10.6 peratus kes kehamilan remaja bagi tempoh Januari hingga 30 September 2025, melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu pengurangan tahunan sebanyak 10 peratus.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penurunan ini berdasarkan pembentangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada Mesyuarat OSTPC 2025 yang turut dihadiri agensi berkaitan termasuk PDRM, Jabatan Pendidikan, Residen Bahagian serta NGO seperti Dawn Hope.
OSTPC ditubuhkan untuk menyelaras usaha bersepadu melibatkan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan keselamatan bagi menangani kehamilan remaja secara holistik.

Beliau menambah, “lebih 50 peratus remaja hamil berada dalam lingkungan usia 18–19 tahun, manakala remaja tidak berkahwin menunjukkan peningkatan, memerlukan sistem sokongan lebih bersasar”, katanya ketika sidang media Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bapa Malaysia.
Bagi kategori etnik, Iban mencatat peratusan tertinggi (51 peratus), diikuti Melayu (24 peratus) dan Bidayuh (tujuh peratus), dengan 416 kes rujukan kepada OSTPC setakat September 2025, menurun berbanding 463 kes pada 2024.
Kajian OSTPC bersama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mengenal pasti faktor penyumbang kehamilan remaja termasuk faktor individu, pengaruh rakan sebaya dan media sosial, serta faktor keluarga dan sosioekonomi.
Sementara itu, PDRM pula melaporkan sebahagian kes berpunca daripada jenayah seksual, majoritinya melibatkan individu dikenali mangsa.
Bagi 2026, OSTPC merancang menggabungkan modul pendidikan daripada MPS dan Jabatan Kesihatan, mengukuhkan penglibatan NGO seperti SWWS dalam program safe touch, melaksanakan pendidikan seksual untuk ibu bapa, serta advokasi CAPS di sekolah dan komuniti, khususnya bagi remaja tercicir.
“Kita berpegang pada prinsip bahawa setiap individu layak diberi peluang kedua. Sokongan ini bukan untuk menggalakkan kehamilan remaja, tetapi bagi membantu mereka memulakan kehidupan baharu dengan lebih baik,” tegas beliau.
Oleh Shikin Mahmud