Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak menolak dakwaan Bruno Manser Fonds isu pembalakan
  • TEMPATAN

Sarawak menolak dakwaan Bruno Manser Fonds isu pembalakan

Utusan Sarawak 7 hours ago
DELEGASI Jabatan Hutan Sarawak (JHS) hadir ke Universiti Metropolitan Osaka (OMU) atas jemputan khas bagi membentangkan kertas kerja mengenai kerjasama penyelidikan bersama Institut Kebangsaan bagi Kajian Alam Sekitar (NIES) Jepun.

KUCHING: Kerajaan Sarawak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan disiarkan dalam artikel bertajuk ‘Kerajaan Sarawak Mengelak Aktivis Orang Asli di Jepun’ pada 12 November 2025 di laman The Borneo Project dan Bruno Manser Fonds.

Menurut kenyataan itu, delegasi Jabatan Hutan Sarawak (JHS) hadir ke seminar di Universiti Metropolitan Osaka (OMU) atas jemputan khas bagi membentangkan kertas kerja mengenai kerjasama penyelidikan bersama Institut Kebangsaan untuk Kajian Alam Sekitar (NIES) Jepun.

Seminar akademik tersebut diadakan bersempena pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Sarawak, melalui JHS, dan OMU.

Seminar yang berfokus kepada penyelidikan saintifik itu berlangsung seperti dijadualkan pada 12 November 2025 dan dihadiri khusus oleh pensyarah, penyelidik, saintis serta pelajar OMU.

Percubaan beberapa aktivis, termasuk Lerroy Lemen dari KERUAN untuk mendaftar di bawah nama Rangkaian Tindakan Hutan Tropika Jepun (JATAN) ditolak oleh penganjur Jepun kerana mereka bukan warga akademik atau penyelidik OMU.

JHS menegaskan tindakan aktivis berkenaan jelas bermotifkan agenda untuk mengapi-apikan masyarakat peribumi dengan membawa dakwaan pembalakan dan kemusnahan hutan yang tidak berkaitan dengan tujuan seminar tersebut.

Seperti dijangka, aktivis terbabit kemudian mengadakan sidang media semata-mata untuk menarik perhatian.

Berhubung permintaan untuk bertemu delegasi JHS mengenai pelesenan pembalakan kepada Borneoland Timber Resources, jabatan itu menjelaskan bahawa isu tersebut kini dalam proses semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Miri.

Sebarang kenyataan lanjut dianggap dalam proses perundangan (sub judice) dan boleh mengganggu proses mahkamah.

Pada masa sama, JHS menegaskan komuniti peribumi di Ulu Baram melalui ketua kaum dan penghulu telah menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan pembangunan yang diperlukan, termasuk jaringan jalan raya, infrastruktur asas dan projek pembangunan mampan.

Jabatan itu turut menafikan dakwaan Lerroy Lemen bahawa program berkenaan dibatalkan pada saat akhir.

JHS juga menyuarakan rasa kecewa terhadap kenyataan Pengarah SAVE Rivers, Celine Lim, yang mempertikaikan penganugerahan ‘Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star’ oleh Maharaja Jepun kepada Premier Sarawak pada 11 November 2025.

JHS menggesa pihak berkuasa menyiasat kenyataan berunsur hasutan tersebut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Jepun-Malaysia atas kerjasama erat lebih tiga dekad.

Sejak 1995, perkongsian itu telah menyokong pelbagai inisiatif pemulihan hutan, pembangunan komuniti serta pendidikan alam sekitar, mencerminkan komitmen bersama ke arah kelestarian dan masa depan Sarawak yang lebih hijau.

Bruno Manser Fonds (BMF) ialah sebuah pertubuhan bukan untung (NGO) berpangkalan di Basel, Switzerland, dengan fokus kepada pemuliharaan hutan hujan tropika dan hak masyarakat pribumi, terutamanya suku Penan di Sarawak, Malaysia.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Beluru dan Kun Kepen Akek Yah: Menyimpan Suara Masa Depan
Next: Sarawak Energy ingatkan orang ramai urus akaun elektrik dengan berhemah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.