
DALAM pilihan raya negeri Sabah, terdapat dinamika politik yang sangat menarik untuk diketengahkan. Antaranya ialah pertembungan adik beradik.
Justeru, ia bukan sekadar persaingan politik biasa, tetapi membawa elemen peribadi yang menambah unsur dramatik dan mencerminkan kompleksiti keluarga dalam politik tempatan.
Pertembungan adik-beradik
Terdapat empat kerusi sekurang-kurang dikesan menyaksikan calon daripada adik-beradik berlawan secara langsung.
Di DUN Kukusan, terdapat dua adik-beradik, iaitu Ma’mun Sulaiman (Warisan) dan kakaknya Chaya Sulaiman (Barisan Nasional), bertembung di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan.
Di DUN Inanam pula adik beradik Shone Eric Jr Majimbun dan Edna Jessica Majimbun. Shone bertanding sebagai calon Bebas di bawah gerakan ‘Black Wave’ yang menekankan sifat bebas dan integriti. Edna pula mewakili Parti Warisan.
Kawasan sama
Kerusi DUN Nabawan, berlaku persaingan antara dua adik-beradik, iaitu antara Jekerison Kilan dan Junilin @ Jubilin Kilan. Jekerison bertanding atas tiket PKDM, manakala Junilin mewakili UPKO.
Ia merupakan satu pertembungan dalam lapan atau sembilan penjuru calon bagi kerusi Nabawan. Sasaran mereka: menewaskan penyandang kerusi, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan.

Di kerusi DUN Petagas pula terdapat pertembungan antara dua bersaudara, iaitu Awang Ahmad Sah dan Awang Husaini Sahari. Awang Ahmad Sah ialah penyandang kerusi Petagas, tetapi kali ini bertanding sebagai calon Bebas dan beliau pernah menyertai Warisan dan kini terlibat dengan GAGASAN.
Awang Husaini Sahari, adiknya, bertanding atas tiket PKR / Pakatan Harapan. Pertembungan ini berlaku dalam suasana sangat kompetitif dan di Petagas adalah pertembungan kerusi ‘10 penjuru’.
Motif di sebalik pertembungan
Terdapat faktor warisan sejarah politik keluarga. Adik-beradik Majimbun, Shone dan Edna, adalah anak kepada Datuk Eric Majimbun, bekas Ahli Parlimen Sepanggar yang mewakili parti SAPP (2004-2008).
Pada 2013 Eric bertanding di DUN Inanam akan tetapi kalah kepada calon PKR.
Ternyata warisan politik dan nama keluarga jelas mempunyai peranan dalam keputusan mereka bertanding dan ini bukan sekadar langkah spontan, tetapi sebahagian dari warisan dan aspirasi pemimpin keluarga tersebut.

Ideologi berbeza
Walaupun lahir daripada latar yang sama, Shone dan Edna memilih platform politik berbeza, Shone memilih jalan bebas (calon Bebas) melalui ‘Black Wave’ kerana mahu bawa perubahan, menekankan integriti dan suara rakyat tanpa ikatan ketat parti.
Edna pula memilih Warisan, kerana dia melihat parti itu sebagai wadah yang lebih teratur dan kukuh untuk menyuarakan aspirasi komuniti dan pembangunan di Inanam.
Mereka sendiri menyatakan persaingan politik ini tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan: kerana bagi Edna mereka tidak banyak berbincang politik dalam rumah kerana ideologi politik dianggap sesuatu yang professional manakala Shone pula menyatakan walaupun mereka mempunyai matlamat sama dalam memperjuangkan hak rakyat namun cara mereka mencapainya berbeza.
Di DUN Nabawan Jekerison mungkin mahu membawa suara pembaharuan melalui PKDM, atau menggunakan peluang ini untuk menonjolkan latar belakangnya sebagai bekas pemain bola sepak negeri.
Sementelahan Junilin pula sebagai calon UPKO melihat parti itu sebagai kekuatan yang lebih mapan atau dekat dengan pembangunan di peringkat negeri, dan melalui UPKO dia boleh mengekalkan relevansi dalam arena politik tempatan
Lebih bebas
Di Petagas Ahmad Sah memilih jalan bebas kerana mahu mengekalkan pengaruh peribadi, bebas daripada kawalan parti, atau tidak menerima pencalonan semula dari parti asal manakala Husaini melihat PKR sebagai platform yang lebih sesuai untuk matlamat politiknya.

Ahmad mempunyai latar belakang politik yang kuat dan pengalaman sebagai ADUN Petagas sebelum ini dan ini memberinya kelebihan namun risiko juga besar kerana bertanding sebagai calon Bebas.
Justeru, Husaini dengan sokongan PKR, boleh memanfaatkan kekuatan organisasi parti serta sokongan akar umbi PH, terutama jika pengundi di Petagas mencari calon yang mewakili pembaharuan atau perwakilan pembangkang.
Implikasi politik
Pertembungan ini mampu menjadi tarikan emosi kepada pengundi yang ala-ala menonton ‘gusti WWF’ semacam lakonan antara realiti dan lakonan politik.
Persepsi luar melihat perbalahan antara keluarga memberikan naratif yang lebih ‘manusiawi’. Pengundi mungkin lebih peduli kerana mengetahui bahawa calon bukan hanya wakil parti, tetapi juga saudara kandung yang berlawan atas prinsip masing-masing dan ini boleh menarik perhatian media dan pengundi kerana elemen dramatik keluarga.
Dalam kerusi pelbagai penjuru seperti Inanam (13 penjuru) kehadiran adik-beradik dalam persaingan boleh memecahkan undi.

Kedua-duanya mungkin ambil sebahagian undi daripada kelompok pengundi yang berkongsi nilai atau warisan keluarga dan ini boleh menguntungkan calon ketiga atau penyandang kerusi jika pengundi keluarga terpecah.
Walaupun kedua-dua adik-beradik menegaskan hubungan kekeluargaan terjaga, persaingan politik boleh membawa cabaran: kritikan daripada pengundi yang membawa persepsi keluarga ‘berpecah’ atas kepentingan politik, atau risiko retorik negatif jika kempen menjadi sengit.
Kemenangan menjadi legasi
Apapun kemenangan salah satu daripada adik-beradik boleh memperkuat legasi politik keluarga. Jika salah satu menang, maka mereka boleh memperluas pengaruh keluarga dalam pentadbiran negeri atau dewan undangan.
Sebaliknya, jika kedua-duanya kalah, maka akan dianggap mencerminkan had pengaruh nama keluarga itu dalam landskap politik Sabah terkini.
Makna besar konteks Sabah
Pertembungan adik-beradik menunjukkan bahawa politik Sabah kini bukan hanya tentang parti besar atau kerjasama tradisional, tetapi juga merangkumi gerakan bebas (seperti Black Wave) dan persaingan berdasarkan nilai keluarga dan integriti, dan ini memancarkan refleksi demokrasi tempatan.
Ketika banyak calon daripada parti kecil, bebas, dan gerakan baru muncul, keluarga lama yang mempunyai sejarah politik masih aktif dan bersaing, maka inimenandakan kuasa lama belum hilang, tetapi sedang diuji semula dalam konteks perubahan landskap kuasa.
Persaingan ini turut mencerminkan simbolik identiti politik orang Sabah yang unik, melibatkan hubungan kekeluargaan, warisan tempatan dan semangat perubahan bersatu dalam ruang demokrasi negeri.
Kesimpulan
Ternyata pertembungan adik-beradik dalam PRN Sabah menambah lapisan menarik dalam pilihan raya negeri ini yang bukan sekadar pertembungan kerusi, tetapi satu cerminan konflik nilai keluarga, warisan politik, dan aspirasi peribadi.
Persaingan ini membuka ruang kepada pengundi untuk menilai calon bukan semata-mata atas dasar parti, tetapi atas identiti dan integriti individu.
Pada masa sama, ia menguji sejauh mana tradisi politik lama di Sabah kekal relevan dalam arus perubahan politik yang semakin dinamik.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan kini ialah felo kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.