Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Cadangan naikkan umur bersara penjawat awam kepada 65 tahun sedang dibincang 
  • NASIONAL

Cadangan naikkan umur bersara penjawat awam kepada 65 tahun sedang dibincang 

Utusan Sarawak 5 hours ago

KOTA BHARU: Cadangan untuk menaikkan umur persaraan penjawat awam kepada 65 tahun sedang melalui proses sesi libat urus pelbagai pihak, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata cadangan berkenaan ada dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang meminta kerajaan membuat kajian berhubung kemungkinan pelanjutan umur persaraan kepada 65 tahun. 

“Sehingga kini, JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuklah CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam) dan persatuan-persatuan pesara untuk mendapatkan pandangan awal.

“Ini adalah kerana perkara ini sesuatu yang di luar kebiasaan, kami memerlukan kajian dan penelitian yang rapi supaya apa jua keputusan yang diambil nanti memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya selepas Program Ziarah Pesara Negeri Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata bagi pandangan pihak CUEPACS, terdapat kedua-dua sokongan dan penolakan terhadap cadangan berkenaan.

Wan Ahmad Dahlan berkata pada peringkat awal, beri peluang kepada pelbagai perspektif dikemukakan bagi memastikan keputusan akhir memberi implikasi positif kepada penjawat awam dan negara.

“Kerajaan menegaskan proses libat urus dan kajian masih berjalan dan sebarang keputusan akan diumumkan setelah kajian lengkap,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat pada 31 Julai lepas memaklumkan had umur persaraan wajib akan dikaji semula seiring peralihan Malaysia ke arah negara menua.

Kajian itu melibatkan pelbagai aspek termasuk implikasi kewangan serta kesan terhadap peluang pekerjaan yang perlu diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Pada Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said turut mencadangkan had umur persaraan wajib dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun, dengan alasan individu pada usia itu masih sihat dan mampu menyumbang secara produktif kepada tenaga kerja negara.

Ketika ini, umur persaraan wajib bagi penjawat awam adalah 60 tahun, yang juga umur persaraan minimum sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

Terdahulu, Wan Ahmad Dahlan turut menyantuni pesara Negeri Kelantan Che Hasdi Musa, 69, yang menetap di Padang Bongor dan pasangan pesara suami isteri Muhamad Zanini Mahamood, 71, dan isterinya, Wan Noriah Wan Ramli berumur 69 tahun yang menetap di Kubang Kerian di sini.

Che Hasdi berkata beliau hanya bergantung kepada sumbangan katil yang dipinjam daripada sebuah badan bukan kerajaan sejak terlantar awal Mac tahun lepas akibat penyakit prostat selain mengalami darah beku pada bahagian otak.

“Saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh JPA hari ini, yang disampaikan oleh beliau (Wan Ahmad Dahlan) yang sudi berkunjung di kediaman saya. Kehadiran beliau memberi semangat baharu kepada saya dan keluarga,” katanya.

— BERNAMA

Continue Reading

Previous: Segelintir penjawat awam masih lemah integriti – KPPA
Next: BAT Malaysia naikkan harga rokok bermula Jumaat ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.