
ADDIS ABABA, Ethiopia: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Addis Ababa, ibu negara Ethiopia pada 4.10 petang waktu tempatan (9.10 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi di sini, menandakan bermulanya lawatan sulung beliau ke benua Afrika dan fasa baharu dalam hubungan Malaysia dengan rantau itu.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bole dan disambut oleh Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali.
Turut menyambut ketibaan beliau ialah Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kanan kerajaan yang lain serta delegasi perniagaan.
Ini merupakan lawatan bersejarah dalam usaha Malaysia merpertingkat hubungan dengan benua Afrika melalui ibu pejabat Kesatuan Afrika di sini.
Kesatuan Afrika yang ditubuhkan pada Julai 2002 dan dianggotai 55 negara merupakan suara perwakilan benua itu di pentas global dan antara peranan utamanya ialah menggalakkan kerjasama antarabangsa.
Lawatan Anwar selama tiga hari ke negara yang mendapat jolokan ‘Horn of Africa’ itu – yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia – juga merupakan lawatan balas selepas kunjungan rasmi Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober tahun lepas.
Lawatan itu meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak Januari 1965 dan turut bersempena dengan pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada 23 September 2025, selepas ditutup selama 42 tahun, memperkukuh hasrat Malaysia untuk terus meningkatkan hubungan dua hala yang erat.
Mohd Afandi dalam taklimat yang diadakan secara maya pada Isnin berkata lawatan itu menjadi pemangkin untuk meneroka peluang baharu kerjasama dalam pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama terutamanya dalam perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat.
Pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa, ibu pejabat Kesatuan Afrika akan turut menawarkan peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh hubungannya dengan Kesatuan Afrika secara lebih meluas, katanya.
Di Addis Ababa, Anwar akan diberi sambutan rasmi di Istana Negara pada Rabu, dihadiri Dr Abiy Ahmed dan kemudian kedua-dua pemimpin itu akan mengadakan pertemuan dua hala.
Beberapa perjanjian dan memorandum perjanjian dijangka dimeterai antara kedua-dua negara termasuk memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam kesihatan, perjanjian perkhidmatan udara dan MoU mengenai kerjasama dalam pelancongan.
Perjanjian lain termasuklah dokumen kolaborasi antara Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur dan Pentadbiran Bandaraya Addis Ababa, yang akan menyelaraskan mekanisme untuk dialog strategik bagi menyediakan ruang kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara.
Anwar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Ethiopia Taye Atske Selassie dan bertemu dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf, yang berasal dari Djibouti.
Perdana Menteri juga dijadualkan menyampaikan syarahan khas bertemakan ‘Menghubungkan Peradaban, Membina Masa Depan: Memperkukuh Kerjasama Afrika-Malaysia demi Kemakmuran Bersama’ kepada Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Ethiopia.
Ethiopia, negara dilingkungi daratan yang paling ramai penduduknya di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia bernilai RM446.8 juta, dengan eksport dari Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, meningkat sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi lawatan kerja bermula 20 hingga 23 November untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20.
Kemudiannya, beliau akan meneruskan rangka lawatan ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 November, sebelum pulang ke tanah air.- Bernama