KUCHING: Jualan kraftangan di Sarawak sehingga Julai hanya mencatatkan RM8.2 juta dengan penjualan terendah pada Mei berjumlah RM41,000.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berbanding dengan angka penjualan tahun lalu yang berjumlah RM32 juta, tahun ini penjualannya diramalkan menurun RM20 juta.
“Kementerian saya sangat menyedari kesusahan yang dihadapi oleh industri pelancongan, seni dan budaya termasuk sektor kraftangan.
” Walaupun banyak yang dapat terus menjalankan perniagaan melalui platform media sosial, jumlah penjualan tidak memberangsangkan,” katanya ketika merasmikan Pembukaan Pejabat Kraftangan, Galeri dan Cawangan Runcit di Tebingan Sungai Kuching, di sini semalam.
Abdul Karim turut menasihati peniaga yang menjalankan perniagaan di bangunan tersebut supaya membantu mempromosika tempat itu kepada rakan, keluarga, dan pelanggan melalui semua platform media.
“Ini akan membawa lebih ramai pengunjung dan pelanggan membeli produk anda. Kami faham tidak ramai pengunjung pada masa ini kerana pandemik Covid-19, tetapi keadaan akan bertambah baik tahun hadapan.
“Untuk membantu anda mengatasi semua ini, kementerian saya bersetuju mengecualikan sewaan sehingga Disember 2020,” ujarnya.
Jelasnya, di Sarawak terdapat lebih 150 kedai runcit yang menjual kraftangan tetapi sayangnya tidak semua produk di kedai itu dibuat di Sarawak.
“Kita memberi jaminan produk di galeri dan pusat ini adalah produk asli Sarawak.
“Inilah tempat untuk mendapatkan produk kraftangan asli Sarawak. Sekecil mungkin, tetapi ada cukup banyak pilihan. Saya menggesa semua pengendali pelancong tempatan dan pemandu pelancong untuk menjadikan tempat ini sebagai tempat persinggahan untuk pelancong,” katanya.