
MIRI: Hujan serta perjalanan jauh mengambil masa 10 jam pergi dan balik tidak menghalang misi penghantaran bantuan kepada mangsa kebakaran di Long Loyang, Baram hari ini.
Ketua rombongan Pasukan SUKA’s Generation, Rina Noel, berkata keutamaan mereka adalah memastikan bantuan sampai ke lokasi sasaran meskipun terpaksa melalui laluan mencabar.
Menurutnya, rombongan itu terdiri daripada 18 sukarelawan menggunakan tujuh kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan bertolak dari Miri sekitar 3.00 pagi.
“Usaha membantu komuniti terjejas diteruskan melalui program penghantaran barang keperluan asas. Kami bersyukur kerana ketika memasuki kawasan tersebut, cuaca baik dan program dapat dijalankan dengan lancar.
“Selain bantuan asas, isu pendidikan kanak-kanak turut diberi perhatian oleh SUKA’s Generation dengan kerjasama beberapa badan komuniti lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Beliau berkata, bantuan yang dihantar meliputi barangan makanan, minuman, keperluan asas serta peralatan sekolah untuk murid-murid yang terkesan.


“Sumbangan ini merupakan hasil derma ikhlas daripada saudara-mara dan orang ramai yang prihatin terhadap keadaan penduduk di sana,” ujarnya.
Sementara itu, Keban GOP Association Miri (KGA) turut menyertai misi berkenaan melalui wakilnya, Victor Douglas Asoi, dengan menyampaikan sumbangan berupa makanan kering dan minuman.
Pusat Khidmat Dorcas Gereja Methodist Life Miri turut mengambil bahagian dengan menyalurkan pakaian kepada penerima bantuan, yang diserahkan kepada wakil SUKA’s Generation, Spencer Douglas Asoi, untuk diagihkan kepada keluarga yang memerlukan.
Program berkenaan mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan pelbagai pihak dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan, sekali gus mengukuhkan budaya saling membantu dalam komuniti setempat.
Dalam insiden tersebut, kebakaran bukan sahaja meragut satu nyawa tetapi turut memusnahkan sepenuhnya 22 pintu rumah panjang, menyebabkan 191 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Oleh Adum Liu