Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Sejarah wabak penyakit taun 1964
  • KOLUMNIS

Sejarah wabak penyakit taun 1964

Utusan Sarawak 8 hours ago

WABAK taun merupakan salah satu penyakit yang sering mengancam keharmonian kehidupan manusia. 

Dalam sejarah Sarawak, ia menjadi salah satu penyakit yang digeruni, dan memberi kesan mendalam kepada rakyat dan kerajaan.  Ia juga penyakit yang boleh dikawal dan kadangkala jika kebersihan tidak dipatuhi, maka ia akan berulang semula.

Hal ini berlaku di Sarawak pada 1964. Sebelum itu wabak penyakit taun ini amat serius pada 1963 tetapi pada Januari 1964, Sarawak diisytiharkan bebas daripada wabak penyakit ini. 

Namun ia kembalikan muncul di Bahagian Pertama (kini Bahagian Kuching) pada April. Setelah tiada lagi kes-kes taun, maka pada 7 Mei 1964 diiytiharkan semula bahawa Sarawak bebas daripada taun. 

Namun demikian dikesan pula kes ini di Bahagian Ketiga (Sibu). Kes yang dikesan ini adalah pada 11 Mei 1964 di Kanowit.  Kemudian ia merebak ke penempatan di Sungai Rajang hingga ke Kapit. 

Dari Kapit ia merebak pula ke Daerah Sibu.  Masalah ini menyebabkan Bahagian Ketiga diisytiharkan sebagai kawasan wabak taun.

Pesakit

Wabak ini diakibatkan strain El-Tor yang berbeza impaknya dengan strains klasik.  Setakat hujung Mei 1964, seramai sembilan orang telah disahkan positif menghidap penyakit ini di Kapit, Kanowit dan Sibu.

Sementara itu, 23 orang lagi masih disyaki menghidap taun. Menjelang 4 Jun 1964, keadaan bertambah serius apabila jumlah kes meningkat kepada 40 orang.

LANGKAH vaksinasi adalah kaedah terbaik kawalan penyakit taun. Foto fail.

Perkara ini diumumkan oleh Kementerian Kesihatan di Kuala Lumpur yang turut memaklumkan bahawa enam kematian telah direkodkan. Selain itu, seramai 39 individu yang disyaki menghidap taun berada di bawah pemantauan pihak kerajaan.

Daripada laporan ini menunjukkan setakat 4 Jun 1964 terdapat seramai 128 kes dan 21 kematian di Sarawak. Kawasan di Bahagian Ketiga yang serius dilanda wabak taun ini adalah kawasan persisiran Sungai Rajang dan cabangnya sehingga ke Kapit, Kanowit dan kawasna luar bandar Sibu. 

Beberapa kes-kes terpencil terdapat di Sungai Igan dan Patang di Daerah Kanowit.

Sementara itu kes taun tidak dikesan di bandar Sibu, Mukah dan Daerah Binatang (Bintangor). Terdapat beberapa kes-kes terpencil di Daerah Sarikei.

Kesan daripada merebaknya taun ini menyebabkan beberapa acara keramaian ditunda.  Antaranya adalah Regata Binatang (Bintangor) yang sepatutnya diadakan pada 20 dan 21 Jun 1964 telah ditunda. 

Menurut Setiausaha Kehormat Jawatankuasa Regata tersebut, Freddy Yeo bahawa perlumbaan perahu itu akan diadakan semula apabila Bahagian Ketiga bebas daripada wabak taun.

Vaksinasi

Usaha mengawal penyakit ini telah dilakukan dan antaranya melakukan vaksinasi kepada penduduk di Bahagian Ketiga.  Pasukan vaksinasi dari Kuching telah diterbangkan ke Bahagian Ketiga untuk melawat kawasan rumah panjang dan penempatan di Sungai Rajang.

HOSPITAL Lau King Howe Sibu. Foto fail.

Selain itu mereka juga mengadakan vaksinasi di kawasan Sungai Igan sehingga ke Sungai Rassau bermula pada 6 Jun 1964. Arahan dikeluarkan agar penduduk tempatan diminta untuk tinggal di rumah bagi tujuan vaksinasi.

Pada 12 Jun 1964 di Binatang, perkhidmatan vaksinasi dijalankan di dua tempat iaitu Bangunan Majlis Dearah Binatang dan Dispensari Kerajaan Binatang.

Di Sibu, pusat vaksinasi disediakan di Boys’ Club, Jalan Causeway, manakala kanak-kanak di kawasan luar bandar Sibu akan divaksinasikan oleh kumpulan bergerak.

Bagi tujuan vaksinasi ini juga, Pegawai Perubatan bahagian mengumumkan bahawa pada 18 Jun 1964 dua pasukan bergerak akan menjalankan program vaksinasi di kawasan luar bandar Sibu.

Pusat-pusat vaksinasi ditetapkan di beberapa sekolah di kawasan tersebut. Orang awam diminta berkumpul di sekolah-sekolah berkenaan untuk menerima suntikan vaksin. Lawatan susulan pula pada 22 Jun 1964.

Langkah dilakukan oleh pihak kerajaan ini menampakkan ada kawalan terhadap penyakit ini. Setakat 25 Jun 1964 jumlah pesakit mengidap taun adalah 116 orang, manakala kematian pula 20 orang. 

Pembahagian terhadap kes ini menunjukkan Kapit mempunyai pesakit tertinggi iaitu 53 kes dengan 14 kematian.  Rekod kedua terbanyak adalah di Kanowit dengan 40 kes dan dua kematian. 

Daerah Sibu pula mencatatkan 19 kes tetapi tiada kematian, manakala Binatang dan Mukah mencatatkan satu kes kematian.  Daerah Sarikei pula mencatat tiga kes termasuk dua kematian.

Sehubungan dengan itu pihak kesihatan menyatakan bahawa seramai 140,127 orang telah divaksinasikan. Pengarah Kesihatan menyatakan bahawa usaha vaksinasi ini satu keperluan dan akan membantu membenteras penyakit taun. 

Tetapi beliau menambah apa yang lebih penting adalah mengamalkan kebersihan diri dan tahap kebersihan persekitaran yang baik amat penting sekiranya orang ramai ingin melindungi keluarga dan diri mereka daripada penyakit tersebut.

Merebak

Walaupun terdapat beberapa usaha mengawal penyakit ini tetapi ia tidak dapat menyekat merebaknya penyakit ini di bahagian-bahagian lain di Sarawak. 

Hal ini berlaku di Bahagian Empat (Miri). Pegawai Perubatan bahagian memaklumkan bahawa terdapat satu kematian di Miri, manakala lima orang disahkan sebagai pesakit taun dan empat lagi masih disyaki.

Dari Bahagian Keempat, penyakit ini merebak pula ke Bahagian Kedua (Sri Aman). Kes dikesan pada Ogos 1964 apabila terdapat satu kes positif taun dan satu lagi masih disyaki. 

Mereka ini dikatakan menghadiri satu majlis di Rian Batang, di atas Batang Layar, berdekatan Betong. Merebaknya penyakit ini membawa kepada usaha bersungguh-sungguh kerajaan mengekang wabak ini daripada terus berleluasa. 

Akhirnya pada 5 Disember 1964 kerajaan berjaya mengawal keadaan dan mengisytiharkan Sarawak sekali lagi bebas daripada taun.

Secara keseluruhannya penyakit ini perlu ditangani kerana ia mudah merebak. Dalam hal ini kebersihan harus menjadi elemen perlu dijaga terutama dalam majlis-majlis sosial dan kedai-kedai makan. 

Dewasa ini penyakit taun walaupun jarang didengari tetapi penyakit berkaitan makanan ini seperti keracunan makan akibat virus salmonella menjadi kebimbangan pada hari ini. 

Oleh itu perlu dilakukan usaha lebih bersepadu untuk menekankan kebersihan dalam setiap aktiviti harian kita. Walaupun hal ini dilihat remeh tetapi kesannya besar kepada kesejahteraan kesihatan kita dan masyarakat serta negara.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Fahami reka bentuk binaan pesawat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.