Johnson Wen, berbaju putih ditahan oleh pengawal keselamatan selepas melompat penghadang untuk berdiri di sebelah Ariana Grande. Foto AFP/Straits Times.
SINGAPURA: Mahkamah Singapura hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan hari terhadap seorang lelaki Australia kerana meluru ke arah bintang filem Ariana Grande pada tayangan perdana Asia filem “Wicked: For Good” minggu lalu.
Grande dan pelakon lain menghadiri malam pembukaan di Universal Studios Singapura apabila lelaki itu, yang dikenal pasti sebagai Johnson Wen, 26, melompat melepasi penghadang dan meletakkan lengannya di bahu Grande.
Rakaman yang tular menunjukkan Wen merangkul bahu Grande yang kelihatan terkejut sebelum melompat-lompat dan melambai ke arah orang ramai.
Cynthia Erivo, rakan pelakon Grande, segera melindunginya sebelum pengawal keselamatan menarik Wen dan menolaknya kembali ke belakang penghadang.

Wen ditahan beberapa jam kemudian dan didakwa atas kesalahan “mengganggu ketenteraman awam”.
Hakim Daerah Christopher Goh berkata tindakan itu dirancang awal, lalu menjatuhkan hukuman penjara sembilan hari — jauh lebih rendah daripada hukuman maksimum tiga bulan penjara, denda S$1,500 atau kedua-duanya.
Wen, yang muncul melalui pautan video dengan baju putih, pada mulanya kelihatan keliru apabila pertuduhan dibacakan tetapi terus mengaku bersalah.
Hakim berkata Wen mempunyai pola tingkah laku mengganggu acara besardan bertindak kerana mahu perhatian, tanpa memikirkan keselamatan orang lain.
Wen merayu: “Saya takkan buat lagi, Tuan Hakim.”
Hakim berkata mahkamah perlu menghantar mesej bahawa Singapura tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan yang menjejaskan reputasinya sebagai negara selamat.
Wen sudah menjalani empat hari dalam tahanan dan perlu menghabiskan lima hari lagi. Tidak jelas sama ada tindakan lanjut akan dikenakan selepas dia dibebaskan.
Insiden itu tidak menjejaskan tayangan perdana, yang diteruskan seperti biasa.
Grande, 32, pernah mengalami trauma akibat serangan bom di konsertnya di Manchester pada 2017 yang membunuh 22 orang dan mencederakan lebih 1,000. – AFP