
KUCHING: Sarawak melangkah ke satu lagi pencapaian penting apabila Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) hari ini melancarkan Jendela Perbankan Islam, yang menjadi pemacu baharu dalam memperkukuh pembangunan ekonomi negeri berlandaskan nilai dan integriti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkhidmatan baharu itu, yang dinamakan DBOS Hana, menunjukkan kesediaan DBOS memperluaskan penawaran kewangan berlandaskan syariah seiring pertumbuhan pesat kewangan Islam di seluruh dunia.
Beliau berkata, laporan terkini menunjukkan aset kewangan patuh syariah global melepasi RM25 trilion pada 2024 dan dijangka terus meningkat, sekali gus membuka ruang baharu bagi Sarawak memposisikan diri dalam rangkaian kewangan Islam antarabangsa.
“Pelancaran Tetingkap Perbankan Islam ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan DBOS, tetapi mengukuhkan komitmen Sarawak untuk membangunkan ekonomi yang inklusif, beretika dan memakmurkan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Integriti DBOS di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Abang Johari turut menegaskan bahawa integriti kekal sebagai teras pentadbiran negeri sejak 2017, termasuk pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah oleh Kabinet negeri, kewajipan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) di semua jabatan dan agensi, serta pewujudan Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 sebagai mekanisme pengawasan bebas terhadap aduan awam.
Menurutnya, Sarawak kini mempunyai lebih 210 Pegawai Integriti Bertauliah, jumlah tertinggi di Malaysia, yang membantu memperkukuh tadbir urus dan memantau pelaksanaan pelan integriti di agensi kerajaan serta syarikat milik negeri.
Beliau berkata, kedudukan kewangan Sarawak yang kukuh dan penarafan kredit yang tinggi membuktikan disiplin fiskal serta pengurusan kewangan berhemat, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negeri.
Katanya, integriti dalam pengurusan projek pembangunan juga penting kerana kerajaan negeri membelanjakan berbilion ringgit bagi pembinaan infrastruktur dan kemudahan awam yang perlu disiapkan mengikut masa dan kos yang ditetapkan.
Pada majlis sama, Abang Johari merasmikan Hari Integriti DBOS serta melancarkan perkhidmatan perbankan Islam DBOS Hana.
Oleh Shahrul Qaizat