
BELÉM, Brazil: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju tenaga bersih dan mampan serantau apabila mengadakan pertemuan dengan Global Renewables Alliance (GRA) dan International Hydropower Association (IHA) pada Sidang Kemuncak COP30.
Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) yang diketuai Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni membincangkan potensi kerjasama antara pihak berkepentingan dalam sektor awam dan swasta bagi melaksanakan inisiatif tenaga boleh baharu di Sarawak.
“Ia selaras dengan usaha memperkukuh campuran tenaga negeri ke arah sumber lestari, memanfaatkan sumber semula jadi Sarawak untuk menghasilkan kuasa bersih pada skala besar,” kata Datuk Dr. Hazland melalui sebuah kenyataan media hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama ini dapat diperkukuh melalui Perjanjian Grid Kuasa yang dimeterai semua Menteri Tenaga ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur.
Sarawak juga dijemput menyertai Global Alliance for Pumped Storage, sebuah platform perangkaian antarabangsa bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan tenaga dan memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab tenaga bersih bagi rantau ini.
Selain itu, Sarawak turut menerima jemputan untuk menyertai Kongres Dunia Tenaga Hidro pada April 2027 di Australia. Penyertaan negeri sebelum ini dalam kongres tersebut membuktikan komitmen Sarawak dalam usaha global ke arah pelepasan sifar bersih.
Wakil GRA, Rex Amancio, bersama Ketua Pegawai Eksekutif IHA, Eddie Rich dan Pengurus Dasar Tenaga Kanan IHA, Debbie Gray menyatakan minat bersama untuk memperluas rangkaian, berkongsi kepakaran dan memperkenalkan teknologi baharu yang dapat membantu Sarawak mencapai matlamat tenaga bersih dan neutral karbon.
Kerjasama berterusan antara Sarawak bersama GRA dan IHA dijangka memberikan manfaat besar dalam mempertingkat kapasiti tenaga boleh baharu, memperluas pelaburan dan eksport tenaga, serta menggalakkan penggunaan teknologi hijau, selaras dengan visi Sarawak menjadi ‘Battery of ASEAN’.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah pegawai MEESty, Sharifah Mordhiah Syeed Mohd Hussien dari Seksyen Perubahan Iklim dan Kelestarian, serta Nadzirah Bujang dari Bahagian Tenaga.